Tuesday, May 12, 2009

TASAWUF DAN SUFI


Aliran Tasawuf atau ajaran sufi memang menimbulkan perbincangan yang hangat dalam kalangan kaum muslimin antara yang menyokong dan membantah. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu banyak dipengaruhi unsur-unsur Tasawuf dan Tariqat Sufi sehingga dikatakan setiap Ulama Melayu terdahulu tidak terlepas sebagai pengamal salah satu tariqat yang wujud.
Namun, dalam membicarakan soal tasawuf ini, kita perlu bersikap adil dan meneliti dengan timbangan Kitab Allah dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang sahih kerana ini lah dua peninggalan Nabi s.a.w kepada kita yang menjadi kayu ukur kepada kebenaran dan kebatilan sesuatu perkara.
Istilah Tasawuf tidaklah muncul atau wujud dalam kurun awal Islam walaupun ramai kaum Sufi percaya bahawa ajaran mereka bersanad daripada Rasulullah s.a.w sendiri. Istilah Sufi atau Mutasawwif hanya muncul pada kurun ketiga Hijrah hasil daripada sekumpulan kaum di Basrah yang memilih jalan hidup sederhana setelah Umat Islam dilanda dengan kehidupan senang dan mewah.[Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 16/5-6].
Antara yang terawal memilih jalan ini adalah Abdul Wahid bin Zaid di mana anak-anak murid beliau merupakan kaum terawal mendirikan tempat-tempat ibadat sufi. Abdul Wahid bin Zaid ini adalah antara Ashab (Sahabat) Hasan al-Basri dan terkenal sebagai seorang yang zuhud dan berlebih-lebihan dalam ibadat. [Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 16/6-7].
Gerakan Sufi atau Tasawuf bermula sebagai gerakan menghidupkan semula kehidupan zuhud setelah Umat Islam dilanda dengan kehidupan mewah namun gerakan ini telah berkembang kemudiannya menjadi satu firqah daripada firqah-firqah Islam yang terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah hasil terpengaruh dengan falsafah Yunani, Hindu, Kristian, dan lainnya.[al-Mausuah al-Muyassarah fil Adyan wal Mazahib wal Ahzab al-Muasarah, Bab al-Sufiah].
Gerakan Zuhud ini sebenarnya telah pun bermula sejak zaman Sahabat lagi melalui Saidina Abu Zarr al-Ghifari r.a selaku seorang yang terkenal mengajak manusia memilih kehidupan zuhud semenjak zaman Saidina Usman bin al-Affan r.a yakni permulaan zaman Umat Islam hidup dalam kemewahan dan kesengan.
Namun istilah Tasawuf tidaklah muncul sehingga kurun ketiga hijrah apabila kaum Zuhud ini mula terpengaruh dengan ajaran-ajaran luar dan idea-idea asing seperti melazimi memakai baju Suf yakni pakaian yang dibuat daripada bulu bebiri. Imam Muhammad bin Sirin r.h pernah ditanya berkenaan mereka ini lalu beliau menjawab: “Sesungguhnya mereka ini meniru cara hidup al-Masih Isa a.s sedangkan Hidayah Nabi kita lebih kita cintai, adalah Nabi s.a.w memakai kain kapas dan lainnya”. [Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 16/7]
Perkataan Ibn Sirin ini jelas menunjukkan bahawa kaum sufi ini terpengaruh dengan ajaran Kristian yang mana dikatakan Nabi Isa a.s memakai pakaian Suf dan hidup sebagai seorang fakir.
Pengaruh luar ini telah mengubah wajah Tasawuf daripada gerakan Zuhud yang sepatutnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih telah berubah dengan mengambil sumber daripada pemikiran luar. Selain itu, pengaruh hadis-hadis palsu dan daif dalam pembentukan ajaran Tasawuf juga amat ketara kerana jika diteliti kitab-kitab Sufi yang muktabar seperti Ihya’ Ulumuddin misalnya penuh dengan hadis dan khabar yang palsu dan daif.
Antara penyebab berubahnya wajah gerakan zuhud yang murni kepada gerakan Tasawuf yang mempunyai akidah tersendiri pengaruh daripada firqah-firqah sesat yang sedia ada seperti Syiah dan Ilmu Kalam. Ini jelas jika kita melihat kepada Guru Utama ajaran Tasawuf ini, al-Haris al-Muhasibi yang merupakan pengikut ajaran Kullabiah, Abdul Wahid bin Zaid pengikut Qadariah. Demikian guru mereka yang mutaakhir seperti Imam al-Ghazali dan al-Qusyairi daripada al-Asyairah.
Selain itu, ajaran sufi meletakkan perasaan hati dan ilham sebagai sumber dalam amal ibadat mereka, ini melahirkan sifat melampau dalam ibadat dan mengeluarkan mereka daripada had sepatutnya. Atas dasar inilah semua ahli sufi tidak terlepas daripada kesalahan yang tercela walaupun sebahagian mereka daripada Ahli Sunnah wal Jamaah. [al-Mausuah al-Muyassarah lil Adyan wal Mazahib wal Ahzab al-Muasarah, Bab al-Sufiah].
Kasyaf, Ilham, dan Gerakan Hati merupakan sumber tasawuf yang meletakkan para pengikutnya berisiko besar untuk terkeluar daripada landasan Islam yang sahih walaupun pada dasarnya mereka meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber utama dalam ajaran mereka.
Untuk membuktikan teori ini kita akan lihat contoh Ahli Tasawuf terawal yang meletakkan gerak hati sebagai asas ibadah mereka selain al-Quran dan al-Sunnah:
Pertama: Sirri al-Saqati menyatakan bahawa dia bertaubat selama 30 tahun kerana mengucapkan ‘Alhamdulillah’ kerana dia mengucapkan ‘Alhamdulillah’ itu atas dasar kedainya terselamat daripada kebakaran. Apabila dia memikirkan tindakannya dia mendapati tindakannya tidak sesuai dengan zuhud (pada sangkaannya) lalu dia bertaubat daripada perbuatannya memuji Allah tersebut. [Siyar A’lam al-Nubala, 23/176].
Kedua: al-Junaid al-Baghdadi rahimahullah, beliau terkenal dengan kata-katanya yang menunjukkan bahawa Tasawuf itu terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah, namun dalam keadaan tertentu dia juga mengucapkan: “Seseorang itu tidak akan dianggap sebagao Ahli Sufi sebenar melainkan dia disaksikan oleh seribu Ulama Zahir bahawa dia seorang Zindiq”. Kenyataan wujudnya Ulama Zahir membawa kepada wujudnya kaum batin iaitu ahli sufi sekaligus membawa kepada pembahagian syariat kepada Kulit dan Isi yang telah diijmakkan ulama sebagai bidaah dolalah. [Akidah dan Suluk dalam Tasawuf: Antara Keaslian dan Penyelewengan, Dr. Abdul Fattah Ahmad Fawi, m/s 69, terjemahan Basri bin Ibrahim].
Ketiga: Abul Husein al-Nuri mempunyai kata-kata yang terkenal seperti: “Jika kamu melihat ada manusia yang mendakwa dia boleh keluar dari syariat maka janganlah kamu dekatinya”. Namun dalam masa yang sama terdapat perkataannya yang menunjukkan kepada hulul yakni meresapnya Tuhan dalam makhluk. Bahkan dikatakan perkataan-perkataan al-Nuri sebenarnya abjad pertama yang melahirkan akidah hulul. Demikian juga beliau pernah bernazar tidak akan duduk selama 40 hari kecuali dalam solat hanya kerana memakan sebiji tamar yang menyebabkan badan beliau terasa malas bersolat. Ini adalah penyeksaan diri yang tidak berasal daripada Islam bahkan akidah Hindu. [Siyar A’lam al-Nubala’, 27/73 dan selepasnya].
Keempat: Abu Yazid al-Bustami, seorang tokoh sufi yang terkenal dengan perkataannya: “Jika kamu melihat seseorang diberi karamah sehingga boleh terbang sekalipun janganlah kamu terpedaya sehingga kamu melihat bagaimana dia menjaga suruh dan larangna Allah dan batas-batas syarak”. Namun, Abu Yazid juga terkenal sebagai bapa kepada Fahaman Ittihad (bersatunya makhluk dengan Tuhan) kerana kata-katanya: “Maha Suci Aku”, “Tidak Ada Dalam Jubah ini (yang dipakainya) kecuali Allah”.[Siyar A’lam al-Nubala, 25/83].
Demikianlah beberapa contoh yang berlaku pada kaum sufi permulaan di sebalik mereka ini mendapat pujian dalam ucapan mereka yang tertentu yang menunjukkan mereka ini seorang Ahli Tauhid yang sejati namun kerana meletakkan perasaan hati dan lintasan-lintasan hati sebagai ibadat kepada Allah Taala mereka tidak terlepas daripada melakukan atau mengucapkan perkataan yang tidak selari dengan Manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah.
Ahwal (Keadaan-keadaan) dan Syatahat (latahan-latahan) Sufi ini kemudiannya menjadi penyebab kepada kerosakan kaum sufi kebelakangan seperti yang kita katakan Abul Husein al-Nuri misalnya menjadi rujukan dalam masalah Fana’ (lebur) yang membawa kepada Ittihad (penyatuan dengan Tuhan), Hulul (penyatuan Tuhan dengan Makhluk), dan akhirnya Wihdatul Wujud (Kesatuan Tuhan dan Makhluk).
Imam Al-Zahabi r.h menyatakan berkenaan dengan Abul Husein al-Nuri r.h:
وَلَهُ عِبَارَاتٌ دَقِيْقَةٌ يَتَعَلَّقُ بِهَا مَنِ انْحَرَفَ مِنَ الصُّوْفِيَّةِ - نَسْأَلُ اللهَ العَفْوَ - .
Maksudnya: “dan baginya ibarat yang mendalam yang dijadikan pergantungan (rujukan) oleh mereka yang menyeleweng daripada kalangan Sufiah-kita memohon kemapunan Allah-.”[Siyar A’lam al-Nubala, 27/72].
Memang tidak dinafikan latahan dan tersasul dalam keadaan tertentu menjadi uzur berdasarkan hadis Nabi s.a.w:
لَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فَلاَةٍ فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ فَأَيِسَ مِنْهَا فَأَتَى شَجَرَةً فَاضْطَجَعَ فِى ظِلِّهَا قَدْ أَيِسَ مِنْ رَاحِلَتِهِ فَبَيْنَا هُوَ كَذَلِكَ إِذَا هُوَ بِهَا قَائِمَةً عِنْدَهُ فَأَخَذَ بِخِطَامِهَا ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِى وَأَنَا رَبُّكَ. أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ
Maksudnya: “Adalah Allah itu yang paling gembira dengan taubat hambaNya apabila hambaNya bertaubat melebihi kegembiraan seseorang kamu yang sedang mengembara dengan haiwan tunggangan di bumi yang gersang lalu hawiannya hilang bersama dengan bekal makanan dan minumannya lalu dia berputusa asa dan datang berbaring di bawah pokok berteduh kerana berputus asa dari menjumpai semula haiwannya namun sedang keadaannya begitu haiwannya datang berdiri di sisinya lalu dia memegang tali kekang haiwannya sambil berkata dalam keadaan teramat gembira: “Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan Aku adalah TuhanMu”, dia tersalah kerana terlampau gembira”. [Muslim].
Namun, adakah diterima akal bahawa seseorang manusia itu akan sentiasa melatah sepanjang hayatnya lalu mengucapkan kalimah kufur? Misalnya Ibn Arabi, pengarang Futuhat al-Makkiayah, Fusus al-Hikam, Insan Kamil, dan sebagainya, adakah setiap kali dia menulis kitab ini dia dalam keadaan latah sehingga kita hendak memberikan uzur kepadanya? Adakah boleh manusia yang sedang melatah atau di bawah pengaruh emosi mampu menulis kitab yang begitu tersusun ayat dan tatabahasanya?
Ini adalah perkara yang perlu diberi perhatian oleh setiap muslim supaya tidak terpengaruh dengan dakyah kaum Sufi bahawa ucapan-ucapan kufur Syeikh dan Mursyid mereka diucapkan dalam keadaan Syatahat [latah], Sakar [mabuk emosi], dan seumpamanya.
Hasil perbincangan di atas dapat kita nyatakan bahawa Ilmu Tasawuf ini berasal daripada amalan zuhud, menyemai akhlak mulia, tarbiah dan tasfiah jiwa, dan al-Ihsan yang dituntut syarak, namun hasil pengaruh luar dan hasutan syaitan telah bertukar kepada satu ajaran baharu yang terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah yang dinamakan Tasawuf dan disebut juga para Imam Usuluddin sebagai Firqah al-Nussak (Ahli Ibadat).
Keadaan ini tidak ubah seperti Ilmu Kalam yang dihukum sesat oleh Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah. Ilmu Kalam asalnya merupakan Ilmu Tauhid dan Akidah namun hasil pengaruh falsafah Yunani dan sebagainya bertukar kepada Ilmu baharu yang terkeluar daripada landasan Ahli Sunnah wal Jamaah yang dinamakan Ilmu Kalam.
Oleh itu, apabila kita menyatakan bahawa Ahli Sunnah menolak Tasawuf bukanlah bermakna Ahli Sunnah tidak menerima amalan pembersihan jiwa yang sesuai dengan syarak, ilmu akhlak, dan sifat al-Ihsan dalam ibadah tetapi yang dimaksudkan kita menolak ilmu akhlak yang dibicarakan dan dibahas menurut ilham, kasyaf, dan falsafah Yunani yang bertentangan dengan syarak yang dinamakan Tasawuf, samalah juga apabila kita mengatakan kita menolak Ilmu Kalam bukan bermakan kita menolak Ilmu Akidah yang murni atau menolak untuk percaya Allah itu Maham Mendengar, Melihat, dan sebagainya daripada sifat Allah yang sabit tetapi ilmu akidah yang berlandas kepada akal dan merendahkan nas wahyu itulah yang kita tolak.
Semoga Allah Taala memberikan hidayah kepada kita semua dan menetapkan kita di atas jalan al-Salaf al-Soleh. Wallahua’lam.


DITULIS OLEH:
MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI,
KULIAH USULUDDIN&DAKWAH,
AL-MEDINA INTERNATIONAL UNIVERSITY.

No comments:

Post a Comment