Monday, July 26, 2010

APA KATA ULAMA ISLAM BERKENAAN TASAWUF AL-GHAZALI?

OLEH: MUHAMMAD ASRIE AL-MADANI

Kebanyakan kita pada hari ini apabila membicarakan soal Tasawuf dan Sufiah, sumber dan rujukan utama kita dalam bab ini akan tertumpu pada karya-karya Imam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah sehingga terdengar sebahagian orang berkata antara ciri-ciri Ahlus Sunnah wal Jamaah itu adalah: ‘al-Ghazali dalam Tasawufnya’.[1]

Karangan Abu Hamid al-Ghazali menjadi rujukan utama dunia Sufi pada hari ini terutamanya Ihya’ Ulumuddin sehingga mereka berkata: ‘Jika semua kitab-kitab Islam itu hilang kecuali Ihya’ maka cukuplah dengannya’ dan Ihya’ ini dianggap antara kitab induk dalam ilmu Tasawuf[2].

Antara contoh pemujaan yang melampau terhadap karangan al-Ghazali apa yang disebut oleh Ba Basil dalam fitnahnya terhadap Dakwah Salafiah:

وأما تعظيم السّادة آل ابن علوي للأحياء فكثير جداً، فقد كان سيّدنا تاج العارفين عبد الله بن أبي بكر العيدروس يكاد يحفظه نقلا ويحث على التزام مطالعته والعمل بقوله وفعله ويقول عليكم يا إخواني بمتابعة الكتاب والسنة أعني الشريعة المشروحة في الكتب الغزالية وشرح الكتاب والسنة مستوفى في كتاب الإحياء للإمام حجة الإسلام الغزالي

Ertinya: “dan adapun takzim para Sayyid keluarga Ibn ‘Alawi terhadap al-Ihya’ sangatlah banyak dan adalah Sayyidan Tajul ‘Arifin Abdullah bin Abu Bakar al-‘Idrus hampir sahaja menghafalnya bulat-bulat dan menggesa supaya senantiasa membacanya dan beramal dengan perkataan dan amalan di dalamnya dan dia berkata: “Wajib atas kamu wahai saudara-saudaraku untuk mengikut al-Kitab dan al-Sunnah yang aku maksudkan adalah Syariat yang diterangkan dalam kitab-kitab al-Ghazali dan syarah terhadap al-Kitab dan al-Sunnah itu sudah cukup dalam kitab al-Ihya’ bagi Imam Hujjatul Islam al-Ghazali”.[3]

Maka amat wajarlah kita mengkaji apakah pandangan para Ulama kaum Muslimin yang muktabar terhadap kitab-kitab Imam al-Ghazali yang sekaligus akan memberikan kita gambaran sebenar pendirian Ulama terhadap Tasawuf al-Ghazali; adakah benar Tasawuf yang dibawa oleh Abu Hamid al-Ghazali ini adalah Tasawuf yang suci dan sunni?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih maka di sini kami bawakan beberapa fatwa Ulama dan ulasan mereka berkenaan Imam Abu Hamid al-Ghazali r.h dan karangan-karangan beliau:

Pertama: Imam Abu Bakar Muhammad bin Al-Walid al-Tarthusyi r.h.[4]

Kata beliau dalam surat balas kepada Abdullah bin Muzaffar yang bertanya berkenaan Imam al-Ghazali dan kitab al-Ihya’:

فَأَمَّا مَا ذكرت مِنْ أَبِي حَامِد، فَقَدْ رَأَيْتُهُ، وَكَلَّمتُهُ، فَرَأَيْتهُ جَلِيْلاً مِنْ أَهْلِ العِلْمِ، وَاجتمع فِيْهِ العَقْلُ وَالفهْمُ، وَمَارسَ العُلُوْمَ طُولَ عُمُره، وَكَانَ عَلَى ذَلِكَ مُعْظَمَ زَمَانِهِ، ثُمَّ بدَا لَهُ عَنْ طَرِيْق العُلَمَاء، وَدَخَلَ فِي غُمَارِ العُمَّال، ثُمَّ تَصَوَّف، وَهجر العُلُوْمَ وَأَهْلهَا، وَدَخَلَ فِي عُلُوْم الخوَاطِرِ، وَأَربَابِ الْقُلُوب، وَوسَاوسِ الشَّيْطَان، ثُمَّ شَابَهَا بآرَاء الفَلاَسِفَةِ، وَرُموز الحلاَّجِ، وَجَعَلَ يَطْعُنُ عَلَى الفُقَهَاء وَالمتكلِّمِين، وَلَقَدْ كَادَ أَنْ يَنسلِخَ مِنَ الدِّين، فَلَمَّا عمل(الإِحيَاء)، عَمَدَ يَتَكَلَّم فِي عُلُوْم الأَحْوَال، وَمرَامزِ الصُّوْفِيَّة، وَكَانَ غَيْرَ أَنِيسٍ بِهَا، وَلاَ خبِير بِمَعْرِفَتِهَا، فَسَقَطَ عَلَى أُمِّ رَأْسِهِ، وَشحن كِتَابَهُ بِالمَوْضُوْعَات.

Maksudnya: “Adapun apa yang engkau sebut berkenaan Abu Hamid maka aku telah melihatnya dan bercakap dengannya, maka aku dapati dia seorang yang jujur daripada ilmuan, dan berhimpun padanya akal dan kefahaman, seorang yang berlatih dengan ilmu sepanjang hayatnya dan dia adalah yang terulung di zamannya kemudian dia mula meninggalkan jalan ulama lalu memasuki kesibukan para pekerja, kemudian dia bertasawuf dan meninggalkan ilmu serta ahlinya dan dia memasuki ilmu-ilmu khawatir (perasaan hati) dan was was syaitan kemudian dia mencampurnya dengan pandangan-pandangan Falsafah dan simbol-simbol al-Hallaj serta mula mencela para Fuqaha’ dan Mutakallimin, dan hampir sahaja dia terkeluar daripada agama, maka apabila dia menulis al-Ihya’ dia bercakap berkenaan Ahwal dan ibarat-ibarat Sufiah sedangkan dia tidak biasa dengannya dan tiada pengalaman dengan makna-maknanya, lalu dia jatuh dari atas kepalanya dan memenuhkan kitabnya dengan hadis-hadis Palsu”.[5]

Beliau juga berkata:

شَحَنَ أَبُو حَامِدٍ(الإِحيَاء)بِالكَذِبِ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فَلاَ أَعْلَمُ كِتَاباً عَلَى بَسِيط الأَرْضِ أَكْثَرَ كذباً مِنْهُ، ثُمَّ شبَّكَهُ بِمَذَاهِبِ الفَلاَسِفَة، وَمعَانِي رَسَائِل إِخْوَانِ الصَّفَا، وَهُم قَوْم يَرَوْنَ النُّبُوَّة مكتَسَبَة، وَزعمُوا أَنَّ المعجزَاتِ حِيَلٌ وَمَخَارِيقُ.

Maksudnya: “Abu Hamid memenuhkan (al-Ihya’) dengan pendustaan atas Rasulullah s.a.w maka aku tidak tahu di atas muka bumi ini kitab yang lebih banyak dusta daripadanya kemudian dia gandingkan padanya dengan mazhab-mazhab Falsafah dan makna-makna Rasail Ikhwan al-Safa dan mereka itu (Ikhwan al-Safa) adalah kaum yang berpendapat kenabian itu boleh didapati dengan usaha dan menyangka bahawa mukjizat adalah helah sahaja”. [6]

Ulasan Imam Abu Bakr al-Tarthusyi r.h ini memberikan gambaran jelas kepada kita bahawa Imam Abu Hamid r.h dalam Tasawuf mencampur adukkan dengan Falsafah maka Tasawuf Abu Hamid bukan Tasawuf yang murni.

Kedua: al-Imam Qadhi Iyadh r.h[7]

Al-Imam al-Zahabi r.h memetik kata-kata al-Qadhi ‘Iyadh dalam Mukjam Abi Ali al-Sudafi:

وَالشَّيْخ أَبُو حَامِدٍ ذُو الأَنبَاء الشَّنِيعَة، وَالتَّصَانِيْفِ العَظِيْمَة، غلاَ فِي طرِيقَة التَّصَوُّف، وَتَجرَّد لنَصر مَذْهَبهم، وَصَارَ دَاعِيَةً فِي ذَلِكَ، وَأَلَّف فِيْهِ تَوَالِيفه المَشْهُوْرَة، أُخِذَ عَلَيْهِ فِيْهَا مَوَاضِعُ، وَسَاءت بِهِ ظُنُوْنُ أُمَةٍ، وَاللهُ أَعْلَمُ بِسِرِّهِ، وَنَفَذَ أَمرُ السُّلْطَان عِنْدنَا بِالمَغْرِبِ وَفَتْوَى الفُقَهَاء بِإِحرَاقهَا وَالبُعدِ عَنْهَا، فَامْتُثِلَ ذَلِكَ.

Maksudnya: “dan Syeikh Abu Hamid mempunyai khabaran-khabaran yang buruk dan tulisan-tulisan yang besar, dia melampau dalam jalan Tasawuf serta memberikan tumpuan dalam memenangkan mazhab mereka dan menjadi salah seorang pendakwah padanya, dia mengarang padanya (Tasawuf) beberapa karangan yang masyhur, dikritik dalamnya pada beberapa tempat dan telah buruk sangkaan umat padanya dan Allah jua lebih mengetahui niatnya dan telah dikeluarkan arahan Sultan di tempat kami, al-Maghrib (Morocco) dan Fatwa para Fuqaha’ untuk membakarnya dan menjauhinya lalu dilaksanakan perintah itu”.[8]

Imam Abu Bakr al-Tarthusyi r.h dalam mengulas berkenaan pembakaran kitab al-Ihya’ ini berkata:

وَأَمَّا مَا ذكرتَ مِنْ إِحرَاق الكِتَابِ، فَلعمرِي إِذَا انْتَشَر بَيْنَ مَنْ لاَمَعْرِفَةَ لَهُ بِسُمومه القَاتِلَةِ، خِيْفَ عَلَيْهِم أَنْ يَعتقدُوا إِذاً صِحَّة مَا فِيْهِ، فَكَانَ تَحْرِيْقُه فِي مَعْنَى مَا حرَّقته الصَّحَابَة مِنْ صُحف المَصَاحِفِ الَّتِي تُخَالِفُ المُصْحَفَ العُثْمَانِيّ

Maksudnya: “adapaun apa yang kamu sebut berkenaan pembakaran kitab tersebut (al-Ihya’), sesungguhnya jika ia tersebar dalam kalangan orang yang tidak mengetahui berkenaan racun yang membunuh yang terdapat padanya, ditakuti dia akan mempercayai apa yang terkandung di dalamnya sebagai benar, maka membakarnya seumpama para Sahabat membakar mushaf yang menyelisihi mushaf Usmani”.[9]

Ketiga: Qadhi al-Jamaah Ibn Hamdin al-Qurtubi r.h[10]

Kata beliau dalam mengkritik para pemuja Abu Hamid:

إِن بَعْضَ مَنْ يَعِظُ مِمَّنْ كَانَ يَنْتَحِلُ رسمَ الفِقْه، ثُمَّ تَبرَّأَ مِنْهُ شغفاً بِالشِّرعَة الغزَّاليَة، وَالنِّحلَة الصُّوْفِيَّة، أَنشَأَ كُرَاسَةً تَشْتَمِلُ عَلَى مَعْنَى التعصُّب لِكِتَابِ أَبِي حَامِد إِمَام بِدعتِهِم، فَأَيْنَ هُوَ مِنْ شُنَعِ مَنَاكِيْره، وَمَضَاليلِ أَسَاطيرِهِ المُبَاينَة لِلدِّين؟!وَزَعَمَ أَنَّ هَذَا مِنْ علم المعَامِلَة المُفضِي إِلَى علم المكَاشفَة الوَاقع بِهِم عَلَى سِرِّ الربوبيَة الَّذِي لاَ يُسفِر عَنْ قِنَاعِهِ، وَلاَ يَفُوزُ بِاطِّلاعه إِلاَّ مَنْ تَمَطَّى إِلَيْهِ ثَبَج ضَلاَلَته الَّتِي رفع لَهُم أَعْلاَمَهَا، وَشرع أَحكَامَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya sebahagian mereka yang memberi mauizah (ceramah dan nasihat) adalah sebahagian daripada mereka yang mengikut luaran fiqh kemudian berlepas diri daripadanya kerana gilakan syariat al-Ghazali dan agama Sufiah, mereka mengarang beberapa helaian yang mengandungi taasub kepada kitab Abu Hamid, Imam bidaah mereka, maka di manakah kedudukan dia dengan segala kejelekan kemungkarannya dan kesesatan hikayat-hikayat dongengnya yang menyalahi agama?! Dia menyangka bahawa ini semua adalah ilmu muamalah yang akan membawa kepada ilmu mukasyafah yang akan membawa mereka kepada rahsia rububiah yang tidak akan dibuka penutup wajahnya dan tidak akan mendapat melihatnya melainkan mereka yang berjalan kepadanya atas kesesatannya yang dengannya diangkat untuk mereka panji-panjinya dan hukum-hukumnya”.[11]

Keempat: Imam Abu Abdillah Muhammad bin Ali al-Maziri al-Siqilli r.h[12]

Imam al-Mazari r.h mengarang sebuah kitab radd atas al-Ihya’ yang berjudul (al-Kasyfu wal Inba’ fil Raddi ‘alal Ihya’).

Imam al-Marizi menjelaskan sumber Tasawuf Imam al-Ghazali r.h dengan kata beliau:

وَأَمَّا مَذَاهِبُ الصُّوْفِيَّة، فَلاَ أَدْرِي عَلَى مَنْ عوَّل فِيْهَا، لَكِنِّي رَأَيْتُ فِيمَا عَلَّق بَعْضُ أَصْحَابه أَنَّهُ ذكر كُتُبَ ابْنِ سينَا وَمَا فِيْهَا، وَذَكَرَ بَعْدَ ذَلِكَ كُتبَ أَبِي حَيَّانَ التَّوحيدي، وَعِنْدِي أَنَّهُ عَلَيْهِ عوَّل فِي مَذْهَب التَّصَوُّف، وَأُخْبِرْتُ أَنَّ أَبَا حَيَّان أَلَّف دِيْوَاناً عَظِيْماً فِي هَذَا الفنّ، وَفِي(الإِحيَاء)مِنَ الوَاهيَات كَثِيْر.

Maksudnya: “adapun berkenaan mazhab Sufiah, aku tidak tahu kepada siapa dia merujuk berkenaannya, tetapi aku melihat sebahagian komentar yang diberi oleh pengikutnya bahawa dia ada menyebut kitab-kitab Ibn Sina dan apa yang ada di dalamnya dan menyebut juga selepas itu kitab-kitab Abu Hayyan al-Tauhidi, pada pendapatku pada dialah (yakni Abu Hayyan) beliau (al-Ghazali) merujuk dalam Tasawuf dan aku telah dikhabarkan bahawa Abu Hayyan ada mengarang diwan yang besar dalam ilmu ini (Tasawuf) dan di dalam al-Ihya’ terdapat banyak hadis-hadis wahi (lemah dan palsu)”[13]

Perlu kita ketahui siapakah Abu Hayyan al-Tauhidi ini yang Abu Hamid menyandarkan sumber Tasawufnya kepada dia:

Imam Ibn al-Jauzi menyebut: “Zindiq dalam Islam itu tiga: Ibn al-Rawandi, Abu Hayyan al-Tauhidi, dan Abul Ala’ al-Ma’arri; dan yang paling bahaya atas Islam adalah Abu Hayyan”.[14]

Al-Zahabi berkata: “Seorang sesat mulhid (atheis), Abu Hayyan Ali bin Muhammad bin al-Abbas al-Baghdadi al-Sufi”[15]

Abu Hayyan al-Tauhid adalah antara pelopor Tasawuf Falsafi yang menjadikan ilmu Falsafah Yunani sebagai sandaran dan ambilan maka amat jelas jika Tasawuf al-Ghazali berasal daripada Tasawuf Abu Hayyan ia adalah Tasawuf Falsafi bukan Sunni Salafi.

Kelima: Imam Ibn al-Jauzi r.h[16]

Imam Ibn al-Jauzi mengkritik Imam al-Ghazali dan Tasawuf dalam beberapa buah karangan beliau antara yang terkenal dan menjadi sumber rujukan utama dalam kritikan terhadap Tasawuf adalah kitab beliau yang sangat berharga: Talbis Iblis (Belitan Iblis) dan beliau mempunyai kitab khusus mengkritik Ihya’ Ulumuddin berjudul: (I’lamul Ahya’ bi Aghlatil Ihya’).

Beliau berkata dalam Talbis Iblis:

وجاء أبو حامد الغزالي فصنف لهم كتاب الأحياء على طريقة القوم وملأه بالأحاديث الباطله وهو لا يعلم بطلانها وتكلم في علم المكاشفة وخرج عن قانون الفقه وقال أن المراد بالكوكب والشمس والقمر اللواتي رآهن إبراهيم صلوات الله عليه أنوار هي حجب الله عز وجل ولم يرد هذه المعروفات وهذا من جنس كلام الباطنية وقال في كتابه المفصح بالأحوال إن الصوفية في يقظتهم يشاهدون الملائكة وأرواح الأنبياء ويسمعون منهم أصواتا ويقتبسون منهم فوائد ثم يترقى الحال من مشاهدة الصورة إلى درجات يضيق عنها نطاق النطق

Maksudnya: “dan datang pula Abu Hamid al-Ghazali lalu dia mengarang untuk mereka (kaum Sufi) kitab al-Ihya’ yang selari dengan jalan kaum dan dia memenuhkannya dengan hadis-hadis yang batil sedangkan dia tidak tahu kebatilannya dan dia bercakap berkenaan ilmu kasyaf dan keluar daripada qanun Fiqh dan berkata: Maksud al-Kaukab dan Matahari dan Bulan yang dilihat oleh Ibrahim selawat Allah atas baginda adalah cahaya-cahaya yang merupakan hijab-hijab Allah Azza wa Jalla dan bukan dimaksudkan dengan makna yang dikenali, perkataan semacam ini adalah sejenis perkataan Batiniah dan dia berkata dalam kitabnya al-Mufsih bil Ahwal (yakni kitab al-Munqiz min al-Dolal –pent-) bahawa Sufiah itu dalam keadaan sedar mereka menyaksikan Malaikat dan ruh-ruh para Nabi serta mendengar suara mereka dan mengambil faedah daripada mereka kemudian bertingkat keadaan mereka itu dari melihat bentuk kepada keadaan yang tidak dapat digambarkan oleh perkataan”.[17]

Keenam: Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h[18]

Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h bercakap dengan panjang lebar berkenaan Abu Hamid al-Ghazali dalam Majmuk Fatawa jilid ke-4 muka surat 63-66.

Antara perkataan beliau:

وتجد أبا حامد الغزالي ـ مع أن له من العلم بالفقه والتصوف والكلام والأصول وغير ذلك، مع الزهد والعبادة وحسن القصد، وتبحره في العلوم الإسلامية أكثر من أولئك ـ يذكر في كتاب [ الأربعين ] ونحوه، كتابه : [ المضنون به على غير أهله] ، فإذا طلبت ذلك الكتاب واعتقدت فيه أسرار الحقائق وغاية المطالب، وجدته قول الصابئة المتفلسفة بعينه، قد غيرت عباراتهم وترتيباتهم، ومن لم يعلم حقائق مقالات العباد ومقالات أهل الملل، يعتقد أن ذاك هو السر الذي كان بين النبي صلى الله عليه وسلم وأبي بكر، وأنه هو الذي يطلع عليه المكاشفون الذين أدركوا الحقائق بنور إلهي .

Maksudnya: “dan engkau dapati Abu Hamid al-Ghazali dalam keadaannya seorang yang berilmu dalam fiqh, tasawuf, kalam, usul, dan lainnya, berserta dengan zuhud, ibadah, niat yang baik dan pengetahuannya dalam ilmu-ilmu Islam melebihi mereka itu (yakni para Ahli Kalam dan Falsafah sebelumnya), dia menyebut dalam kitabnya [Al-Arba’in] dan seumpamanya dan dalam kitabnya [al-Madhnun bihi ‘ala ghairi ahlih[19]] jika kamu semak kitab-kitab ini dan kamu percaya padanya terdapat rahsia-rahsia hakikat dan kemuncak pencarian, kamu akan dapati sebenarnya ia adalah perkataan kaum falsafah Sabiah yang telah diubah ibarat dan susunannya, sesiapa yang tidak mengetahui hakikat-hakikat perkataan para ahli ibadat dan ahli agama, dia akan percaya bahawa itulah sebenarnya rahsia antara Nabi s.a.w dan Abu Bakar dan itulah dia yang dilihat oleh para Ahli Kasyaf yang mendapat hakikat melalui Nur Ilahi”.

Beliau juga berkata:

وهو يميل إلى الفلسفة، لكنه أظهرها في قالب التصوف والعبارات الإسلامية .

Maksudnya: “dan dia [Abu Hamid] cenderung kepada falsafah tetapi menzahirkannya dalam bingkai tasawuf dan ibarat-ibarat berunsur Islamik”.

Berikut pula fatwa Syeikhul Islam dalam menjawab persoalan khusus diajukan kepada beliau berkenaan Ihya’ Ulumuddin [Majmuk, jil 10, m.s 551-552]:

وأما ما في [ الإحياء ] من الكلام في [ المهلكات ] مثل الكلام على الكبر، والعجب والرياء، والحسد ونحو ذلك، فغالبه منقول من كلام الحارث المحاسبي في الرعاية، ومنه ماهو مقبول ومنه ماهو مردود، ومنه ما هو متنازع فيه .

Maksudnya: “dan adapun apa yang terkandung dalam [al-Ihya’] daripada perbahasan mengenai al-Muhlikat (akhlak keji) seperti perbahasan berkenaan Kibr (sombong), Ujub, Riya’, hasan dan seumpamanya maka kebanyakannya diambil daripada kalam al-Haris al-Muhasibi[20] dalam al-Ri’ayah, ada antaranya yang diterima dan ada yang ditolak dan ada yang dikhilafkan”.

Kata Syeikhul Islam lagi:

و [ الإحياء ] فيه فوائد كثيرة، لكن فيه مواد مذمومة، فإنه فيه مواد فاسدة من كلام الفلاسفة تتعلق بالتوحيد والنبوة والمعاد، فإذا ذكر معارف الصوفية كان بمنزلة من أخذ عدوًا للمسلمين ألبسه ثياب المسلمين . وقد أنكر أئمة الدين على أبي حامد هذا في كتبه . وقالوا : مرضه [ الشفاء ] يعني شفاء ابن سينا في الفلسفة . وفيه أحاديث وآثار ضعيفة، بل موضوعة كثيرة . وفيه أشياء من أغاليط الصوفية وترهاتهم .

Maksudnya: “dan [al-Ihya’] padanya faedah yang banyak tetapi padanya terdapat perkara yang dicela dan ada juga kandungan yang rosak daripada perkataan Ahli Falsafah berkaitan dengan Tauhid, kenabian, ma’ad (hari akhirat) serta apabila dia menyebut berkenaan pengetahuan kesufian adalah seumpama orang yang mengambil musuh kaum muslimin lalu dipakaikan padanya pakaian kaum muslimin. Dan para Ulama telah mengingkari Abu Hamid atas perkara ini dalam kitab-kitabnya dan mereka berkata: asal penyakitnya adalah kitab [al-Syifa’] yakni karangan Ibn Sina dalam ilmu Falsafah. Dan padanya juga ada hadis-hadis daif bahkan yang palsu amat banyak dan padanya juga ada kesalahan dan kekarutan Sufiah”.

Perhatikan perkataan bergaris di atas, ini menunjukkan pernyataan jelas daripada Syeikhul Islam betapa bahayanya Tasawuf al-Ghazali pada akidah umat Islam.

Ketujuh: Syeikhul Islam al-Zahabi r.h[21]

أَمَّا(الإِحيَاء)فَفِيْهِ مِنَ الأَحَادِيْثِ البَاطِلَة جُمْلَةٌ، وَفِيْهِ خَيْر كَثِيْر لَوْلاَ مَا فِيْهِ مِنْ آدَاب وَرسوم وَزُهْد مِنْ طرَائِق الحكمَاء وَمُنحَرِفِي الصُّوْفِيَّة

Maksudnya: “adapun [al-Ihya’] padanya terdapat beberapa banyak hadis yang batil dan padanya ada kebaikan yang banyak jika tidak kerana ada padanya adab-adab, ritual-ritual, dan zuhud dengan cara Ahli Hikmah (Falsafah) dan Sufi yang menyeleweng.[22]

Pernyataan jelas daripada Imam al-Zahabi r.h bahawa Tasawuf yang ada dalam Kitab Ihya’ Ulumuddin adalah Tasawuf yang menyimpang bukan yang sunni salafi seperti diwar-warkan.

Selain itu terdapat beberapa Ulama lagi yang mengarang kitab menolak kitab Ihya’ Ulumuddin ini dan Ibn Taimiah r.h menyatakan nama-nama mereka sebagaimana berikut yang ada antara mereka ini telah kita bawakan pernyataan mereka di atas:

1- Abu Abdullah al-Maziri r.h [telah lalu pernyataan beliau]

2- Abu Bakr al-Tartusyi r.h [orang pertama yang kita lihat pernyataannya]

3- Abul Hasan al-Marghinani r.h [beliau adalah teman Imam al-Ghazali sendiri].

4- Al-Syeikh Abul Bayan r.h [‘Alim Salafi di Damsyiq lagi seorang Sufi Sunni]

5- Imam Ibn Solah r.h [seorang yang amat masyhur pengarang Muqaddimah Ulum Hadis]

6- Al-Imam al-Nawawi [antaranya ada dalam karangan agung beliau al-Majmuk]

7- Ibn Aqil r.h

8- Ibn al-Jauzi r.h

9- Abu Muhammad al-Maqdisi r.h.

Kesimpulan:

Daripada apa yang kita dapat daripada fatwa para Ulama Islam berkenaan Tasawuf Imam al-Ghazali r.h ini, jelas kepada kita bahawa Tasawuf yang asli yang selari dengan al-Quran dan al-Sunnah bukan Tasawuf Imam al-Ghazali seperti yang diwar-warkan sebahagian umat Islam.

Ketahuilah Tasawuf Sunni Salafi itu berada pada al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri dan pada kefahaman Sahabat dan Tabiin ridwanullahi ‘alaihim ajma’in. Tasawuf Salafus Soleh itu berada dalam Tafsir al-Tabari, Tafsir Ibn Kasir, Tafsir al-Baghawi, berada di celah-celah lembaran Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Musnad Ahmad, Sunan Sittah, Muwatta’ Malik, Riyadus Solihin al-Nawawi serta ia berada di antara muka surat al-Sunnah oleh Abdullah bin Ahmad, al-Sunnah oleh al-Khallal, al-Syariah oleh al-Ajurri dan terhimpun serta berkumpul dalam Majmuk Fatawa ibn Taimiah, Madarijus Salikin Ibn al-Qayyim, dan Kitab al-Tauhid oleh Muhammad bin Abdul Wahab.

Jika kamu masih juga mahu mencari sinar Tasawuf yang bersih di celah-celah Ihya’ Ulumuddin maka carilah di dalam Mukhtasar Minhajul Qasidin oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi dan Mauizatul Mukminin oleh Jamaluddin al-Qasimi.

Ketahuilah juga bahawa Tasawuf yang murni itu tidak berada bersama tariqat-tariqat sufi yang ada pada hari ini tetapi ia berada bersama gerakan islah dakwah salafi, maka janganlah kamu dihalang oleh bisikan jahat Iblis daripada menemuinya bersama mereka, bergeraklah bersama dakwah Ahlus Sunnah wal Jamaah maka kamu akan selamat insya-Allah.

Tanbih:

Artikel ini sedikitpun tidak ada unsur-unsur menghina Imam al-Ghazali rahimahullah kerana boleh jadi akan ada mereka yang cuba hendak mengaburi mata pembaca bahawa artikel ini cuba merendah-rendahkan ulama kaum muslimin, namun ketahuilah kita memuliakan Imam al-Ghazali dan sumbangan beliau dalam dunia Fiqh terutamanya Fiqh al-Syafii r.h tidak dapat dinafikan.

Penulis selaku seorang yang bermazhab al-Syafii dan kuat mempertahankan dasar-dasar mazhab ini –insya-Allah- sudah tentu amat fakir kepada ilmu dan karya Imam besar al-Ghazali r.h namun sebagai nasihat kepada Ulama dan kaum muslimin maka kesalahan Ulama mestilah dijauhi dan diterangkan supaya kaum awam tidak tersilap langkah.

Kata Imam Ibn Solah r.h:

أبو حامد كثر القول فيه ومنه .فأما هذه الكتب ـ يعني المخالفة للحق ـ فلا يلتفت إليها، وأما الرجل فيسكت عنه، ويفوض أمره إلى الله

Maksudnya: “Abu Hamid telah banyak cakap-cakap padanya dan daripadanya, adapun kitab-kitab ini –yakni yang menyalahi kebenaran- maka tidaklah kita menoleh padanya adapun lelaki ini (yakni Imam Ghazali sendiri) didiamkan daripadanya (yakni jangan dicela) dan diserahkan urusannya pada Allah”.

Insya-Allah inilah juga pendirian penulis terhadap Imam al-Ghazali rahimahullah dan sebahagian asatizah kita berpesan: “Jika benar kamu cintakan al-Ghazali maka janganlah diikuti kesalahannya”.

Maka artikel ini tidak lain tidak bukan adalah lambang cinta dan kasih penulis kepada Imam Abu Hamid al-Ghazali r.h dan seterusnya kepada seluruh saudara se-Islam. Mudah-mudahan kita diberi taufiq dan hidayah oleh Allah kepada kebenaran senantiasa. Amin.



[1] Hal ini diakui oleh Ba Basil, seorang penentang dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab di Mekah sebagaimana yang telah ditolak kebatilannya oleh Syeikh Sulaiman bin Sahman r.h dalam kitab beliau: al-Bayan al-Mubdi li Syina’atil Qaul al-Mujdi.

[2] Rujuk: Mukjam al-Sufiah, Mamduh al-Zoubi, m.s 32

[3] Lihat: al-Bayan al-Mubdi, m.s 138 dan juga m.s 139 yang menjelaskan betapa taksubnya kaum Sufi dewasa ini terhadap karya al-Ghazali dan menjadikannya masdar agama mereka.

[4] Imam al-Zahabi r.h menyifatkan beliau sebagai: al-Imam, al-‘Allamah, al-Qudwah (ikutan dan teladan), al-Zahid, Syaikhul Malikiah. Wafat pada tahun: 520 H.

[5] Siyar A’lam al-Nubala’, 19/339

[6] Siyar, 19/334

[7] Al-Qadhi ‘Iyadh, ‘Alim Maghribi dan Imam Ahli Hadis pada zamannya, pengarang kitab yang terkenal: al-Syifa fi Takrif Huquqil Mustafa. Wafat: 544 H

[8] Siyar, 19/327

[9] Siyar, 19/496

[10] Beliau adalah: al-Allamah Qadhi al-Jamaah Abu Abdillah Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Abdul Aziz bin Hamdin al-Andalusi al-Maliki, Qadhi di zaman Amirul Muslimin Yusuf bin Tasyifin al-Murabiti, guru kepada al-Qadhi ‘Iyadh, wafat pada 508 H.

[11] Siyar, 19/332

[12] Al-Syaikh al-Imam al-‘Allamah al-Bahr (laut Ilmu), pengarang Syarah Sahih Muslim: al-Mu’lim bi Fawaid Sahih Muslim, guru kepada al-Qadhi ‘Iyadh dan daripada kitab al-Mazari lah al-Qadhi Iyadh mengarang Ikmalul Mu’lim Syarah Sahih Muslim. Wafat pada tahun 536.

[13] Siyar,19/341

[14] Ibid 7/120

[15] Ibid 7/119

[16] Al-Syaikh al-Imam al-Allamah al-Hafiz al-Mufassir Syeikhul Islam dan kebanggaan Iraq (di zamannya) seorang yang terlalu masyhur dan terkenal untuk diperkenalkan, pengarang Talbis Iblis, al-Muntazim, al-Mauduat al-Kabir (kitab rujukan utama dalam mengenal pasti hadis maudu’), Zadul Masir fit Tafsir dan lain-lain lagi. Wafat pada tahun 597 H.

[17] Talbis Iblis, m.s 149, cet Darul Fikr. Perkataan al-Ghazali berkenaan menyaksikan Malaikat oleh Sufi ini disebut dalam al-Munqiz min al-Dolal yang dikarang selepas al-Ihya’.

[18] Terlalu Masyhur untuk dikenalkan, Syeikhul Islam Abul Abbas Ahmad bin Abdul Halim bin Abdul Salam bin Abdullah al-Harrani, guru kepada Ulama Umat Imam al-Zahabi, Ibn Kasir, Ibn Rajab, Ibn al-Qayyim dll lagi. Di tangan beliau Allah mengimpunkan ilmu Ulama Salaf dan daripada kitab-kitab beliau ilmu itu mengalir sampai ke hari ini walhamdulillah. Wafat pada tahun 728 H.

[19] Al-Imam Ibn Solah r.h mengingkari nisbah kitab ini kepada al-Ghazali tetapi Ibn Taimiah r.h mengulas: “Adapun al-Madhnun ‘ala ghairi ahlih, ada sebahagian ulama yang menafikan penisbatannya kepada beliau (al-Ghazali) namun mereka yang pakar berkenaan beliau (al-Ghazali) mengetahui bahawa ini memang perkataan beliau berdasarkan ilmu mereka terhadap kandungan perktaan beliau dan persamaannya dengan kalam beliau yang lain..”

[20] Al-Haris al-Muhasibi adalah antara yang terawal bercakap mengenai Tasawuf dan istilah-istilah mereka, dia diboikot oleh Ahlus Sunnah wal Jamaah atas fatwa Imam Ahmad bin Hanbal r.h kerana menganut akidah Kullabiah dan juga kerana kalamnya yang tidak warid daripada salaf berkenaan hati dan was was [tasawuf].

[21] Terlalu masyhur untuk dikenalkan, beliau adalah al-Hafiz Syeikhul Islam Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Usman bin Qaimaz al-Zahabi, antara ilmuan terbesar yang muncul daripada empangan ilmu Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h. Wafat pada tahun: 748 H.

[22] Siyar, 19/339-340

5 comments:

  1. astghfirullah..artikel ini menunjukkan ilmu yg ada pd penulis.ilmu yg tersekat tanpa cahaya.tuntutlah ilmu dari hati ke hati,bkn dengar2,baca2 dan faham2 sendiri..

    ReplyDelete
  2. Jazakallahu khairan khatira di atas pencerahan ini

    ReplyDelete
  3. wahabi yg menukilkan artikel ini...sudah2 lah keje hanpga ni....fitnah je..

    ReplyDelete
  4. wahabi yg menukilkan artikel ini...sudah2 lah keje hanpga ni....fitnah je..

    ReplyDelete
  5. Kedustaan dari penulis(bertaqiyyah)dalam kata kata terakhir dia berucap kalau di barmazhab Syafi'i,dan tak ada niat untuk merendahkan dan mencela imam ghazalie,kalau saya teliti dari tulisannya cuman ingin menggiring opini akar ikut wahabi dan merasa paling benar.sudah banyak cara semacam ini yg dilakukan oleh kaum bani najd tanduk syetan untuk menipu umat.

    ReplyDelete