Wednesday, July 21, 2010

FATWA ULAMA ISLAM TERHADAP HADRAH SUFI

OLEH: MUHAMMAD ASRIE AL-MADANI

Salah satu bentuk Ibadat orang-orang Sufi adalah Majlis Hadrah di mana mereka akan bermain alat-alat muzik seperti gendang, rebana, kompang dan lainnya kemudian diikuti bacaan-bacaan tertentu yang pada sangkaan mereka ianya zikir kepada Allah Taala yang kemudian majlis ini membawa kepada para hadirinnya melompat-lompat, berpusing-pusing, dan menari-nari.

Bagi mereka yang ingain melihat hadrah sufi ini banyak video-video berkenaan hadrah ini dimuat naik di laman sesawang Youtube. Taip di enjin carian Youtube perkataan: Hadrah atau حضرة maka dengan mudah mereka akan dapat melihat video-video hadrah ini.

Apakah hukum melakukan Hadrah ini? Adakah Hadrah ini daripada Islam dan adakah ianya amalan Salafus Soleh kita daripada para Sahabat Rasulullah s.a.w dan para pengikut mereka?

Dalam menjawab persoalan ini marilah sama-sama kita meneliti dan menelaah fatwa-fatwa para Ulama Islam seperti berikut:

Pertama: al-Imam al-Syafii r.h [w.204 H]:

Beliau berkata:

خَلَّفْتُ بِبَغْدَادَ شَيْئاً أَحْدَثَتْهُ الزَّنَادِقَةُ، يُسَمُّونَهُ التَّغْبِيْرُ، يَشْغَلُوْنَ بِهِ عَنِ القُرْآنِ

Maksudnya: “Aku tinggalkan di Baghdad sesuatu yang direka oleh kaum Zindiq mereka menamakannya al-Taghbir, mereka memalingkan dengannya daripada al-Quran”. [Siyar A’lam al-Nubala’, 10/91].

Imam al-Syafii telah menghukum mereka yang melakukan Taghbir sebagai ‘zindiq’ yakni munafiq kerana mereka menjadikan perkara maksiat sebagai ibadat. Tahukah anda apakah itu Taghbir?

قال الأَزهري وقد سَمَّوْا يُطَرِّبون فيه من الشِّعْر في ذكر الله تَغْبيراً كأَنهم تنَاشَدُوهُ بالأَلحان طَرَّبوا فَرَقَّصوا وأَرْهَجوا فسُمّوا مُغَبِّرة لهذا المعنى

Maksudnya: “Berkata al-Azhari: dan mereka telah menamakan orang-orang yang mendendangkan syair untuk mengingati Allah sebagai Taghbir seumpama mereka itu mendendangkannya dengan nada-nada tertentu lalu mereka mendendangkan pendengarnya dan menari-nari dan menimbulkan gerakan-gerakan maka dinamakan mereka itu mughabbirah berdasarkan makna ini”. [Lisanul ‘Arab,Ibn Manzur, 5/3]

Kemudian Imam al-Azhari membawa perkataan Imam al-Syafii r.h yang dinyatakan di atas menunjukkan bahawa inilah makna taghbir yang dikehendaki oleh Imam al-Syafii r.h.

وقال الزجاج سُمّوا مُغَبِّرين لتزهيدهم الناس في الفانية وهي الدنيا وترغيبهم في الآخرة الباقية

Maksudnya: “Berkata al-Zujaj: Dinamakan mereka ini Mughabbirin (pembuat Taghbir) kerana mereka menzuhudkan manusia daripada dunia dan merangsang mereka untuk mengingat akhirat”. [Ibid].

Al-Imam Ibn Kasir r.h mengulas kenyataan Imam al-Syafii ini:

“dan ianya (taghbir) adalah mengetuk dengan dahan atau lainnya di atas kulit yang kering berserta mendendangkan syair-syair ketuhanan yang melembutkan hati dan menggerakkan benda yang diam walaupun begini keadaannya beliau (al-Syafii r.h) telah menamakan pelakunya sebagai zindiq maka bagaimana pula jika beliau melihat apa yang diada-adakan oleh mereka ini di zaman kita dengan mendengar nyanyian dan menari diiringi duff (kompang) dan serunai....” [Kasyful Ghita’ ‘an Hukmi Sima’ al-Ghina’, Maktabah al-Sunnah, cet. 1, 1991 M, m.s 42].

Jelas daripada pernyataan ini bahawa Hadrah Sufi hari ini adalah haram dan ianya amalan Zindik [Munafiq].

Kedua: Imam Abu Bakr al-Tartusyi r.h. [Seorang ‘Alim dan Ulama Besar Mazhab al-Maliki di Andalus, w. 525H].

Al-Absyihi r.h [w.852 H] menyatakan dalam kitab beliau al-Mustatraf:

نقل القرطبي عن سيدي أبو بكر الطرطوشي رحمهما الله أنه سئل عن قوم يجتمعون في مكان فيقرأون من القرآن ثم ينشد لهم الشعر فيرقصون ويطربون، ثم يضرب لهم بعد ذلك بالدف والشبابة هل الحضور معهم حلال أم حرام فقال: مذهب الصوفية أن هذه بطالة وجهالة وضلالة وما الإسلام إلا كتاب الله وسنة رسوله صلى الله عليه وسلم وأما الرقص والتواجد فأول من أحدثه أصحاب السامري لما اتخذوا العجل، فهذه الحالة هي حالة عباد العجل وإنما كان النبي صلى الله عليه وسلم مع أصحابه في جلوسهم كأنما على رؤوسهم الطير مع الوقار والسكينة، فينبغي لولاة الأمر وفقهاء الإسلام أن يمنعوهم من الحضور في المساجد وغيرها ولا يحل لأحد يؤمن بالله واليوم الآخر أن يحضر معهم ولا يعينهم على باطلهم، هذا مذهب الشافعي وأبي حنيفة ومالك وأحمد بن حنبل رحمهم الله تعالى.

Maksudnya: al-Qurtubi telah menaqalkan daripada Sayyidi Abu Bakar al-Tartushi rahimahumallah bahawa beliau (al-Tartushi) telah ditanya berkenaan kaum yang berkumpul di satu tempat lalu mereka membaca al-Quran kemudian didendangkan syair maka mereka menari-nari kemudian dimainkan kompang dan seruling, adakah menyertai mereka ini halal atau haram?

Jawab beliau: Mazhab al-Sufiah sesungguhnya ini adalah perbuatan yang sia-sia dan kebodohan dan kesesatan dan Islam itu hanyalah apa yang terkandung dalam Kitabullah dan Sunnah Rasulillah s.a.w adapun menari-nari dan bergerak-gerak badan orang pertama yang melakukannya adalah al-Samiri ketika mana mereka (Bani Israil) menyembah anak lembu, maka ini adalah keadaan yang sama dengan keadaan penyembah anak lembu dan adalah Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda ketika duduk mereka itu seperti ada burung di atas kepala mereka yakni duduk dengan penuh ketenangan dan diam, maka hendaklah para pemerintah dan Ulama Islam menghalang mereka ini daripada melakukan perkara ini di masjid dan lainnya dan tidak halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk turut serta dan membantu mereka dalam kebatilan mereka ini.

Inilah dia mazhab al-Syafii, Abu Hanifah, Malik, dan Ahmad bin Hanbal rahimahumullah.

Fatwa ini sangat jelas menunjukkan haramnya apa yang dilakukan oleh kaum Sufi ini dan amalan Hadrah ini adalah satu kesesatan dan kebodohan dan ianya haram dengan ijmak antara imam-imam Islam sama ada Mazhab Al-Syafii, Maliki, Hanafi, ataupun Hanbali[1].

Ketiga: al-Imam Ibn Kasir r.h [Penulis Tafsir Ibn Kasir, w. 774 H].

“Adapun menjadikan nyanyian muzik ini sebagai taqarrub dan jalan untuk mendapatkan pahala maka ianya adalah bidaah yang sangat jelek tidak pernah disebut oleh mana-mana Nabi dan tidak pernah diturunkan dalam mana-mana Kitab daripada langit dan perbuatan ini menyamai dengan orang-orang yang dinyatakan Allah dalam firmanNya:

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا

Maksudnya: “dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan...” [al-An’am: 70].

Dan Allah Taala berfirman juga:

وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمْ عِنْدَ الْبَيْتِ إِلَّا مُكَاءً وَتَصْدِيَةً

Maksudnya: “dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan...” [al-Anfal: 35]....” [Kasyful Ghita’ ‘an Hukmi Sima’ al-Ghina’, m.s 41].

Keempat: al-Qadi Abu Tayyin al-Tabari al-Syafii r.h [Ulama Besar Mazhab al-Syafii w.450 H] dan Ibn Rajab al-Hanbali r.h [Ulama besar Mazhab Hanbali w. 795 H].

اعتقاد هذه الطائفة مخالف لإجماع المسلمين فإنه ليس فيهم من جعل السماع دينا وطاعة ولا رأى إعلانه في المساجد والجوامع وحيث كان من البقاع الشريفة والمشاهد الكريمة وكان مذهب هذه الطائفة مخالفا لما اجتمعت عليه العلماء ونعوذ بالله من سوء التوفيق

Maksudnya: “Iktiqad puak ini adalah menyalahi ijmak kaum muslimin kerana sesungguhnya tiada dalam kalangan mereka itu (kaum muslimin) orang yang menjadikan mendengar nyanyian sebagai agama dan ketaatan dan tidak pernah pula mereka berpendapat menzahirkannya (nyanyian dan muzik) di masjid-masjid yang merupakan tempat yang mulia dan adalah mazhab puak ini menyalahi apa yang disepakti atasnya para Ulama, kita berlindung kepada Allah daripada petunjuk yang jelek”. [Nuzhatul Asma’, Ibn Rajab al-Hanbali].

Imam Ibn Rajab al-Hanbali r.h [795 H] memberi komentar berkenaan perkataan Imam besar Mazhab al-Syafii ini:

ماذكره ولا ريب أن التقرب إلى الله تعالى بسماع الغناء الملحن لا سيما مع آلآت اللهو مما يعلم بالضرورة من دين الإسلام بل ومن سائر شرائع المسلمين أنه ليس مما يتقرب به إلى الله ولا مما تزكى به النفوس وتطهر به

Maksudnya: “Apa yang dinyatakan oleh beliau ini tiada lagi keraguan padanya bahawa mendekatkan diri kepada Allah Taala dengan mendengar nyanyain yang berirama tertutamanya bersama dengan alat muzik adalah perkara yang diketahui secara daruri daripada agama Islam bahkan daripada semua Syariat muslimin bahawa ianya bukanlah termasuk mendekatkan diri kepada Allah (yang sebenarnya) dan tidak pula mensucikan jiwa dan memberishkannya...”

Kelima: Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h [w. 728 H]

Syeikhul Islam adalah antara ulama yang tersohor menentang amalan sufi ini dan mempunyai banyak fatwa berkenaannya dan boleh merujuk fatwa-fatwa beliau di dalam Majmuk Fatawa Jilid ke-11. Antara fatwa beliau adalah:

ولهذا كان المكاء والتصدية يدعو إلى الفواحش والظلم، ويصد عن حقيقة ذكر الله تعالى والصلاة كما يفعل الخمر، والسلف يسمونه تغبيرًا؛ لأن التغبير هو الضرب بالقضيب على جلد من الجلود، وهو ما يغبر صوت الإنسان على التلحين، فقد يضم إلى صوت الإنسان، إما التصفيق بأحد اليدين على الأخرى، وإما الضرب بقضيب على فخذ وجلد، وإما الضرب باليد على أختها، أو غيرها على دف أو طبل، كناقوس النصارى، والنفخ في صفارة؛ كبوق اليهود . فمن فعل هذه الملاهي على وجه الديانة والتقرب فلا ريب في ضلالته وجهالته .

Maksudnya: “Oleh sebab itu tepukan dan siulan menyeru kepada kekejian dan kezaliman dan menghalang daripada mengingati Allah Taala dan daripada mendirikan solat seperti mana yang dilakukan oleh arak dan al-Salaf menamakannya sebagai Taghbir; kerana taghbir itu memukul dahan kayu ke atas kulit dan ianya melunakkan suara dan disertai dengan suara manusia itu sama ada tepukan atau pukulan gendang duff atau tabl seperti loceng Krsitian dan tiupan wisel; seperti nafiri Yahudi.

Maka sesiapa yang menjadikan alat-alat muzik ini sebagai bentuk ibadat dan taqarrub maka tiada keraguan pada kesesatannya dan kebodohannya”. [Majmuk Fatawa, 11/576].

Inilah antara beberapa fatwa para Ulama Islam berkenaan menjadikan muzik dan nyanyian sebagai bentuk ibadat. Jelas daripada fatwa-fatwa mereka ini bahawa seluruh ulama salaf rahimahumullah tidak meredai perbuatan kaum sufi ini dan memasukkan perbuatan ini ke dalam jenis amalan zandaqah (munafiq).

Bagi mereka yang ingin mengetahui penjelasan panjang lebar berkenaan amalan Sufi ini boleh juga merujuk kepada kitab-kitab Imam Ibn al-Qayyim r.h [w.751 H] Madarijus Salikin dan Ighasatul Lahfan ‘an Makaid al-Syaitan. Wallahu waliyyut taufiq.



[1] Alangkah samanya keadaan ini dengan keadaan majlis Tilawah al-Quran di negara kita, setelah mendengar al-Quran ia akan dituruti pula oleh nasyid-nasyid dan nyanyian muzik daripada lelaki dan wanita yang menari-nari di atas pentas. Allahul Musta’an.

1 comment:

  1. di bawah blog ini juga disediakan link kepada video hadrah ini.

    ReplyDelete