Saturday, July 24, 2010

TASAWUF FALSAFI PEROSAK AKIDAH UMAT

OLEH: MUHAMMAD ASRIE AL-MADANI

Istilah Tasawuf dan Sufi muncul pada sebelum tahun 200 Hijrah oleh sebahagian Umat Islam yang memilih jalan hidup zuhud dan ibadah dalam suasana Umat Islam umumnya mula dilanda kesenangan dan kemewahan dan para pendahulu Tasawuf memberikan takrif tasawuf itu sebagai: “Keluar daripada semua akhlak-akhlak yang buruk dan memasuki akhalk-akhlak yang mulia”. [lihat: Talbis Iblis, Ibn al-Jauzi, m.s 147, Darul Fikir]

Kemunculan kumpulan zuhud ini dikesan bermula di Basrah dan duwairah (rumah kecil) tempat berkumpulnya para ahli zuhud ini mula dibina oleh pengikut Abdul Wahid bin Zaid [w. 150 H] dan mereka terkenal dengan ketekunan beribadah dan menyisihkan diri daripada kemewahan dunia yang melanda ketika itu sehingga masyhur ketika itu perumpamaan: Fiqh Kufah, Ibadat Basrah. [lihat: Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, jil 11 m.s 6].

Istilah Tasawuf dalam erti kata yang ditakrifkan di atas adalah sesuatu yang mulia dan sesuai dengan tuntutan syarak untuk memperbaiki diri dan mensucikan jiwa dan para pemuka sufi terawal ada menyatakan: “Ilmu kita ini terikat dengan al-Quran dan al-Sunnah, sesiapa yang tidak membaca al-Quran dan tidak menulis Hadis tidak berhak untuk diikuti”, dan berkata sebahagian mereka yang lain meminjam kata-kata Ulama Salaf: “Jikalau kamu melihat seseorang itu terbang di udara dan berjalan di atas air, janganlah kamu terpedaya dengannya sehingga kamu melihat bagaimana sikapnya terhadap suruhan dan larangan (syarak)”.

Jika dilihat asal usul Tasawuf ini, memang pada awalnya mereka yang menjalani jalan kesufian ini berniat baik dan mulia untuk beribadah kepada Allah Taala dan menjauhi fitnah dunia sebagaimana tsabit daripada Rasulullah s.a.w dan para Salafus Soleh galakkan untuk beruzlah dan menjauhi manusia dalam keadaan fitnah.

Namun, kaum Sufi ini telah dibelit dan dijerat dengan jeratan halus oleh Iblis tanpa mereka sedari tanpa kita menafikan adanya kaum sufi yang benar-benar ikhlas dan sahih manhajnya di atas Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah tetapi mereka itu sedikit jika dibandingkan dengan awam yang lain sebagaimana kata Syeikhul Islam Yunus bin Abdul A’la r.h: “Aku tidak pernah melihat Sufi yang berakal kecuali Idris al-Khaulani”. Bahkan berkata Abu Sulaiman al-Darani r.h salah seorang pembesar Tasawuf terdahulu: “Aku tidak pernah melihat adanya kebaikan pada Sufi melainkan pada salah seorang mereka sahaja; Abdullah bin Marzuk, dan aku berasa belas kasihan pada mereka”. [rujuk: Talbis Iblis, Ibn al-Jauzi, m.s 327].

Imam Ibn al-Jauzi r.h setelah menjelaskan keadaan para pendahulu Sufi yang menjadikan matlamat pembersihan jiwa dan akhlak sebagai cara hidup mereka beliau berkata:

“di atas inilah beradanya para pendahulu kaum (sufi) maka Iblis telah membelit mereka dalam beberapa perkara kemudian dia (iblis) membelit orang-orang yang mengikut mereka selepas mereka demikianlah setiap kali berlalu satu kurun dia menambah perasanya (belitannya) pada kurun yang seterusnya maka bertambahlah belitannya atas mereka sehingga dia berjaya membelit golongan terkemudian daripada mereka dengan sepenuhnya”. [Talbis Iblis, m.s 147, cet. Darul Fikir].

Hal yang sama dinyatakan oleh Abu Ahmad al-Syirazi seprti mana yang dibawakan Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziah r.h dalam Ighasatul Lahfan: “Adalah Sufiah itu dahulunya mereka mengejek Syaitan tetapi sekarang Syaitan yang mengejek mereka”. [m.s 125].

Oleh kerana tidak memahami perkara sebeginilah ada sesetengah manusia silap faham terhadap pernyataan-pernyataan Ulama Salafi yang memuji tokoh-tokoh Sufi tertentu dalam beberapa pernyataan mereka yang bertepatan dengan Sunnah atau mengiktiraf penggunaan kalimah Tasawuf dan Sufiah; kerana Ahlus Sunnah wal Jamaah menerima konsep Tasawuf yang asal iaitulah Zuhud dan mengasingkan diri daripada fitnah (Uzlah).

Saya pernah menyatakan bahawa Tasawuf ini boleh dinilai daripada dua segi:

Pertama: Tasawuf sebagai satu Istilah, maka dalam konteks ini Tasawuf itu dapat diterima ada yang sahih dan ada yang fasad (rosak).

Kedua: Tasawuf sebagai satu firqah (kumpulan) dan satu bentuk pergerakan yang mempunyai resam tersendiri dan pemikiran tersendiri berasingan daripada jalan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang terserlah dalam bentuk Tariqat-tariqat Sufi yang ada dewasa ini maka dalam bentuk ini, Tasawuf hanyalah sesuatu yang tercela.

Kata Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziah r.h:

“di antara tipu dayanya (Syaitan): Menyuruh mereka (manusia) melazimi seragam tertentu, pakaian tertentu, gaya jalan tertentu, syaikh tertentu, jalan (cara ibadat) yang direka dan difardukan atas mereka untuk mengikutnya seperti mana mereka melazimi ibadat-ibadat fardu dan mereka tidak meninggalkannya serta mencela orang-orang yang meninggalkan cara mereka ini...”[1] [Ighasatul Lahfan, m.s 125].

Maka tiada Syak lagi bahawa Tariqat Sufiah yang wujud pada hari ini pada zatnya adalah bidaah dan menyalahi jalan para Salafus Soleh. Hal yang sama dinyatakan Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h [Majmuk Fatawa, Jil 11, m.s 511-512].

Demikian juga daripada pemerhatian pandangan para pengkritik Tasawuf yang terdahulu terutamanya Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h bahawa beliau melihat Tasawuf ini merupakan satu Istilah yang berkongsi padanya Ahlus Sunnah wal Jamaah yang melazimi jalan hidup zuhud dan ibadah dan uzlah dengan selain mereka daripada Ahli Bidaah berbeza dengan Imam Ibn al-Jauzi r.h yang membezakan antara Zuhhad (Ahli Zuhud) dan Sufiah sebagaimana yang beliau jelaskan dalam kitab Talbis Iblis.

Imam Ibn Taimiah r.h misalnya jelas menerima Ibrahim bin Adham, Makruf al-Kharkhi, Fudhail bin ‘Iyadh sebagai pendahulu Sufiah namun Imam Ibn al-Jauzi r.h pula tidak menerima mereka ini disenaraikan sebagai Sufiah bahkan mereka ini hanyalah Zuhhad (Ahli Zuhud). Ini menjelaskan kenapa ada perbezaan manhaj dalam mengkritik Tasawuf antara para pengkritiknya khususnya Imam Ibn Taimiah r.h dan Imam Ibn al-Jauzi r.h.

Namun, apa yang penting dan perlu difokuskan adalah para Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah telah sepakat, Tasawuf mutaakhirin yang wujud sehingga ke hari ini adalah sesuatu yang menyalahi jalan Salafus Soleh dan terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Peringkat Penyelewengan Tasawuf:

Secara amnya dapatlah kita simpulkan bahawa penyimpangan Tasawuf terdiri dalam beberapa marhalah:

Pertama: Marhalah Penyelewengan dalam Ibadat

Kedua: Marhalah Kesesatan dalam Akidah

Golongan Tasawuf dalam peringkat awal dibelit oleh Iblis dalam isu-isu ibadat di mana mereka berlebih-lebihan dalam ibadat sehingga membawa kepada beribadat dengan amalan-amalan rekaan yang tiada sandaran daripada Syarak.

Golongan sufiah yang terawal kita dapati berada di atas akidah yang benar dalam Tauhid dan al-Asma’ was Sifat misalnya dan mereka masih termasuk dalam jumlah Ahlus Sunnah wal Jamaah tetapi ada dalam kalangan mereka ini yang melakukan beberapa perkara bidaah namun bidaah yang muncul daripada pemuka Sufiah terawal ini lebih menjurus kepada tergelincir lisan dan kesalahan ‘alim [Zullatul ‘Alim].

Misalnya istilah-istilah yang mereka ungkapkan yang tiada asal daripada Salafus Soleh seperti al-Mahwu, al-Fana’, al-Baqa’, al-Tawajud dan pengsan apabila mendengar bacaan al-Quran serta seumpamanya. Perbuatan-perbuatan mereka ini telah diingkari oleh para Ulama di zaman itu dan telah ditahzir daripada mengikutnya namun, Qadarullahi Masya Fa’al, Syaitan telah mengikat hati para pengikut jalan Sufiah ini dengan kegelinciran para pemuka Sufiah ini yang akhirnya membawa kepada kesesatan.

Faktor Penyelewengan Sufi:

Maka daripada senario ini dapat kita simpulkan bahawa antara faktor yang membawa kepada penyimpangan kaum Sufiah mutaakhirin adalah mengikut kegelinciran Ulama dan kesalahan mereka.

Kemudian, Tasawuf ini juga dicemari dengan Ahli Bidaah yang menjadi pemuka ajaran ini di mana golongan Ahli Bidaah ini memasukkan pemikiran dan akidah mereka yang direka-reka itu ke dalam pemikiran kaum Sufiah dan ini merupakan faktor menukar bidaah Tasawuf daripada Amali kepada Iktiqadi (Akidah).

Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h:

“dan telah bernisbah kepada mereka (Sufiah) sekumpulan daripada Ahli Bidaah dan Zindiq”. [Majmuk Fatawa, jil 11, m.s 18].

Antara tokoh-tokoh Sufi yang dianggap sebagai pemuka dan Masyaikh bagi golongan ini adalah:

Pertama: Abdul Wahid bin Zaid. Syeikhul Islam Ibn Taimiah telah menyatakan bahawa pengikut Abdul Wahid adalah kumpulan pertama yang membina duwairah sufiah di Basrah dan kepada merekalah dinisbahkan ‘Ibadat Basrah’ yang masyhur dengan kehidupan zuhud dan menumpukan pada ibadat.

Al-Zahabi r.h dalam Siyar A’lam al-Nubala’ menyatakan bahawa Abdul Wahid bin Zaid al-Basri ini seorang yang mempunyai bidaah pada akidahnya di mana dia terpengaruh dengan ajarah Qadariah dan tidak menyandarkan Tadlil (penyesatan) kepada Allah Taala dan ini ‘ain akidah Muktazilah. [7/178-180].

Kedua: Abu Hasyim al-Kufi [w.150H]. Abdul Rahman al-Jami, salah seorang ahli Tasawuf [w.898 H] menyatakan dalam Kitabnya, Nafahatul Uns, orang pertama yang digelar Sufi adalah Abu Hasyim al-Kufi. Maka atas kesaksian seorang tokoh Sufi ini kita boleh membuat kesimpulan bahawa Abu Hasyim al-Kufi adalah salah seorang pembesar mereka. Abu Hasyim al-Kufi ini dikatakan seorang Syiah dan kaum Syiah menamakannya sebagai: ‘Pencipta Sufiah’.

Ketiga: Abduk [Abdul Karim] [w.210] adalah antara tokoh yang disebut-sebut sebagai orang pertama bergelar Sufi dan dia ini seorang Zindiq dan padanya dinisbahkan agama al-‘Abdukiah [rujuk: al-Tanbih wal Radd, al-Malti, Abul Husein, m.s 93, cet 2 Maktabah al-Azhariah].

Keempat: Jabir bin Hayyan [w.200 H]. Seorang Ahli Falsafah Syiah dan Abdul Muhsin al-Amin seorang Ulama Syiah telah memasukkan tarjamahnya dalam A’yan al-Syiah (Tokoh-tokoh Syiah) dan menetapkan bahawa Jabir adalah seorang Falsafi, Syi’i, dan Sufi.

Kelima: al-Haris al-Muhasibi [w. 243 H]. Al-Zahabi r.h menyatakan bahawa dia adalah Syaikh al-Sufiah [12/110] dan makruf al-Haris al-Muhasibi adalah orang pertama yang dikenali bercakap berkenaan khawatir al-Nafs (bisikan jiwa) dan menyusun kitab berkaitan hati dan tasawuf dan dia adalah guru kepada Sayyid al-Taifah (penghulu kaum Sufi) al-Junaid al-Baghdadi. Al-Haris al-Muhasibi telah dihukum Mubtadi’ oleh Ulama Salaf antaranya Abu Zur’ah al-Razi dan Imam Ahmad bin Hanbal sehingga dia terpaksa melarikan diri bersembunyi. Al-Muhasini termasuk Ahli Kalam dan daripada kalangan Kullabiah[2].

Keenam: Abu Tolib al-Makki Muhammad bin Ali bin ‘Atiyyah [w.386]. Abu Tolib al-Makki dianggap sebagai sebesar-besar tokoh Sufiah Mutaakhirin dan merupakan orang yang bertanggungjawab meletakkan qanun dan qawaid kumpulan ini melalui kitabnya Qutul Qulub. Imam al-Khatib al-Baghdadi menyatakan bahawa di dalam Qutul Qulub ini terdapat perkara yang munkar disebut Abu Talib berkenaan Sifat dan al-Zahabi meriwayatkan daripada Ibn al-‘Allaf bahawa para Ulama telah memboikot dan membidaahkan beliau kerana ucapannya: “Tiada perkara yang lebih memudaratkan bagi makhluk selain al-Khaliq”. [Mizan al-I’tidal, 3/655].

Ketujuh: Abu Mughis Husein al-Hallaj [w.309 H] –laknatullahi ‘alaih- al-Hallaj adalah antara pemuka utama Sufiah Mutaakhirin dan al-Sya’rani telah memasukkan dia ke dalam senarai pembesar Sufiah dalam Tabaqat al-Kubra dan al-Hallaj adalah orang pertama yang menzahirkan akidah Hulul yakni Tuhan masuk ke dalam badannya lalu berbicara atas lisannya: ‘Akulah Tuhan Yang Maha Benar’. Al-Zahabi r.h menyatakan dalam Mizan: ‘Yang dibunuh kerana zindiqnya’.

Kelapan: Abu Hayyan al-Tauhidi, Ali bin Muhammad [w.400 H]. Digelar sebagai Syeikh al-Sufiah, seorang Ahli Sufi dan Falsafah bermazhab Muktazilah. Telah dihukum kafir dan zindiq sehingga Imam Ibn al-Jauzi menyebut: “Zindiq dalam Islam itu tiga: Ibn al-Rawandi, Abu Hayyan al-Tauhidi, dan Abul Ala’ al-Ma’arri; dan yang paling bahaya atas Islam adalah Abu Hayyan”. [Siyar, 7/120]. Al-Zahabi berkata: “Seorang sesat mulhid (atheis), Abu Hayyan Ali bin Muhammad bin al-Abbas al-Baghdadi al-Sufi” [7/119].

Ini adalah sebahagian nama tokoh-tokoh besar Sufiah yang kesemuanya telah dihukum sebagai Ahli Bidaah namun daripada mereka inilah Tasawuf telah mendapat nama dan qawaidnya. Apa yang dapat disimpulkan daripada mereka ini adalah kesemua mereka ini tidak lepas daripada pengaruh Syiah, Ilmu Kalam, dan Falsafah.

Tasawuf yang bercampur aduk antara berlebih-lebihan dalam ibadat (Ghuluw) dan Ilmu Kalam dan Falsafah telah membentuk Dunia Sufi yang wujud pada hari ini demikian juga ajaran Syiah adalah tonggak utama berdirinya Tariqat Sufiah ini di mana terbukti kerajaan Syiah Safawiah Iran didirikan oleh kaum Tariqat Sufi.

Abu Hamid al-Ghazali Penyempurna Tasawuf Falsafi:

Tasawuf dan Falsafah ini telah dicampur adunannay dengan baik dan lengkap di tangan Abu Hamid al-Ghazali r.h [w.505 H] dan Tasawuf yang wujud pada hari ini semuanya berkiblat kepada kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Abu Hamid al-Ghazali demikian juga Mukasyafatul Qulub dan lain-lain kitab beliau.

Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiah berkenaan kitab Ihya’ Ulumuddin:

“Sesungguhnya padanya (Ihya’) terdapat perkara-perkara yang merosakkan daripada perkataan Ahli Falsafah berkaitan Tauhid, Kenabian, dan Akhirat. Apabila beliau menyebut berkenaan pengetahun-pengetahun Sufiah seumpama orang yang mengambil musuh kaum muslimin lalu dia pakaikan padanya pakaian kaum muslimin”. [Majmuk, jil 10 m.s 552].

Imam Abu Hamid al-Ghazali r.h dalam Kitab Ihya’ telah menjadikan martabat Tauhid yang paling tinggi adalah Tauhid al-Hallaj yang telah dihukum bunuh atas fatwa Ulama Islam kerana zindiq dan kufurnya. [Ihya’ Ulumuddin, 3/338].

Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h:

“Sesungguhnya beliau (al-Ghazali) kebanyakan perkataannya diambil daripada kalam Ahli Falsafah lalu mencampurkannya dengan perkataan Sufiah ataupun ibarat mereka lalu terjebak di dalamnya kebanyakan kaum Sufi yang tidak dapat membezakan antara Hakikat Agama Islam dengan apa yang menyelisihinya daripada falsafah yang merosakkan dan selainnya...” [Jami’ al-Rasail, tahkik Rasyad Salim, al-Majmu’ah al-Ula, Risalah ke-10]

Dalam risalah yang sama Syeikhul Islam berkata lagi: “Tasawuf yang bercampur dengan Falsafah seperti mana yang terdapat dalam perkataan Abu Hamid dan seumpamanya yang diambil daripada Risalah-risalah Ikhwan al-Safa[3] dan seumpamanya...”

Imam Ali al-Maziri al-Siqilli r.h berkata berkenaan Tasawuf yang dibawa Imam al-Ghazali r.h:

“adapun berkenaan mazhab Sufiah, aku tidak tahu kepada siapa dia merujuk berkenaannya, tetapi aku melihat sebahagian komentar yang diberi oleh pengikutnya bahawa dia ada menyebut kitab-kitab Ibn Sina dan apa yang ada di dalamnya dan menyebut juga selepas itu kitab-kitab Abu Hayyan al-Tauhidi, pada pendapatku pada dialah (yakni Abu Hayyan) beliau (al-Ghazali) merujuk dalam Tasawuf ...” [Siyar, 19/341].

Berkata Imam al-Tarthusyi r.h:

“..kemudian dia (al-Ghazali) mengikut ajaran Tasawuf dan meninggalkan ilmu dan ahlinya dan memasuki ilmu khawatir (bisikan jiwa) dan para pengkaji hati serta was was syaitan kemudian dia mencampurkannya dengan pendapat-pendapat Falsafah dan ibarat-ibarat al-Hallaj dan mula mencela para Ahli Fiqh dan Mutakallimin dan hampir sahaja dia terkeluar daripada agama. Apabila dia menulis al-Ihya’ dia sengaja bercakap berkenaan ilmu Ahwal dan ibarat-ibarat Sufiah sedangkan dia tidak biasa dengannya dan tiada pengalaman mengetahuinya lalu dia tergelincir daripada atas kepalanya dan memenuhkan kitabnya itu dengan hadis-hadis palsu”. [Siyar, 19/339].

Berkata Imam al-Ghazali r.h:

“kaum Sufiah telah memilih Ilmu yang didapati secara Ilham bukan Ilmu Taklim (secara belajar), lalu dia duduk dalam keadaan kosong hati, memberi fokus sambil menyebut: Allah, Allah, Allah secara berterusan maka hendaklah dia mengosongkan hatinya jangan dia sibukkan dengan bacaan al-Quran dan kitab-kitab hadis, lalu apabila dia mencapai had ini dia melazimi khalwat (bersendirian) di rumah yang gelap dan berselubung dengan kainnya ketika itulah dia akan mendengar seruan Yang Maha Benar (mendapat wahyu-pent-):

{يَا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ } dan {يَا أَيُّهَا المُزَّمِّلُ }[4]

Kata Imam al-Zahabi r.h mengulas perkataan al-Ghazali ini:

“Penghulu sekalian Makhluk mendengar seruan {يَا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ } daripada Jibril yang mendengarnya daripada Allah, sedangkan si dungu ini sama sekali tidak mendengar seruan Yang Maha Benar bahkan dia mendengar seruan Syaitan atau mendengar sesuatu yang tiada realitinya daripada otaknya yang kosong dan taufiq itu hanyalah dengan berpegang dengan Sunnah dan Ijmak”. [Siyar, 19/334].

Demikianlah sempurnanya adunan kebatilan Tasawuf melalui Abu Hamdi al-Ghazali r.h yang kemudiannya kemuncak Tasawuf Falsafi ini berada di tangan Muhyiddin Ibn ‘Arabi –laknatullahi ‘alaih- pengasas ajaran Wehdatul Wujud yang mengatakan bahawa Tuhan dan Makhluk itu benda yang satu, Tuhan adalah Makhluk dan Makhluk adalah Tuhan-Maha Suci Allah daripada apa yang dikatakan kaum musyrikin ini-.

Kesimpulan:

Dapatlah disimpulkan daripada apa yang dibentangkan bahawa:

1- Dalam mengkiritik Tasawuf terdapat dua corak pandangan sama ada melihat Tasawuf sebagai satu Istilah Ilmu Kezuhudan yang membawa kepada Tasawuf itu ada yang benar dan ada yang batil dan ini corak pilihan Syeikhul Islam atau melihat Tasawuf itu sebagai suatu firqah yang melebihi Zuhud dan ianya tercela semata-mata yang dipilih oleh Ibn al-Jauzi.

2- Tidak ada perbezaan pendapat bahawa pendahulu Sufiah atas istilah Ibn Taimiah dan kaum Zuhhad atas istilah Ibn al-Jauzi termasuk dalam golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah dan mereka berada di atas kebenaran dan ajaran zuhud mereka adalah sejahtera.

3- Tidak ada perbezaan pendapat bahawa Sufiah Mutaakhirin merupakan golongan yang tercela kerana pada mereka itu Tasawuf telah berubah menjadi satu ajaran baharu yang terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah sama ada amali mahupun Iktiqadi (Akidah).

4- Tasawuf yang wujud pada hari ini yang dicerminkan oleh Tariqat-tariqat Sufiah adalah Tasawuf Falsafi yang menyeleweng daripada ajaran Ahlus Sunnah wal Jamaah.



[1] Perkataan Ibn al-Qayyim r.h ini cukup jelas mengisyaratkan bahawa Hizbi adalah bidaah dan termasuk jejak langkah Syaitan.

[2] Nisbah kepada Abdullah bin Said al-Kullab, orang pertama mengatakan al-Quran itu huruf dan lafaznya makhluk. Nama Kullabiah telah diganti dengan al-Asyairah pada hari ini.

[3] Kata Syeikhul Islam: “dan seperti kitab Rasail Ikhwanus Safa yang dikarang oleh sekumpulan penulis di zaman kerajaan Buwaih (kerajaan Syiah Iraq di zaman Abbasiah-pent-) dan mereka ini adalah daripada agama Sabiah yang berakidah falsafah hanifiah, mereka menghimpunkan di dalamnya berdasarkan sangkaan mereka antara agama Sabiah yang telah diubah dengan al-Hanifiah dan membawa padanya perkataan falsafah dan beberapa perkara daripada syariat dan padanya terdapat kekufuran dan kejahilan yang banyak...” [Majmuk, jil 4 m.s 49].

[4] Demi Allah, inilah dia konsep Zero Mind Process yang diajar oleh ESQ dan jelas Imam al-Zahabi menyatakan perkara ini menyelisihi Sunnah dan Ijmak.

No comments:

Post a Comment