Thursday, May 14, 2009

Hakikat Sufi: Membawa Perpecahan

Oleh: Mohd. Safwan bin Rusydi


Akhir zaman kini ramai orang mahu mencari suatu amalan untuk membersihkan dirinya dan amalan yang lebih cepat untuk mendekatkan dirinya kepada Tuhannya. Begitu juga ramai orang yang berlumba-lumba untuk melakukan ibadat tak kira ibadat tersebut benar-benar diambil daripada sumber islam yang tulen ataupun tidak. Oleh sebab itulah kita lihat ramai yang suka beribadat dengan banyaknya akan tetapi jahil ilmu agama. Ada juga yang akhlaknya sangat baik tetapi pegangan agamanya sangatlah karut. Mereka mempercayai wali-wali boleh membantu mereka disamping Allah. Doa mereka berbunyi: "Wahai Imam Syafi'i tolonglah kami".. sedangkan jelas pertolongan (isti'anah/ istighatsah) hanyalah kepada yang Maha Satu. Bukan kepada Imam Syafi'i tidak juga Nabi s.a.w. kerana ianya bercanggah dengan nas-nas yang akan saya paparkan selepas ini.


Saya ingin mengajak para pembaca agar melihat sejenak serta berfikir suatu golongan yang tidak asing lagi yang dinamakan "Sufi" atau lebih popular dengan nama "tasawwuf". Nama yang sangat tidak asing ini telah mendapat tempat di seantero dunia dari timur ke barat dari utara ke selatan. Akan tetapi benarkah golongan ini benar-benar isi ajarannya selari dengan tuntutan agama islam yang sebenar? Ataukah ia sebenarnya cuma ibarat bunga plastik yang hanya cantik luaran tetapi tidak dapat memberi manfaat melainkan hanya indah di mata, itupun mata yang yang telah didorongi dengan hawa nafsunya yang sebenarnya tidak dapat dibandingkan dengan bunga-bunga yang benar-benar hidup di bawah kekuasaan Allah Yang Maha Mencipta sekalian makhluknya.


Menurut kajian para agamawan dan ulama-ulama islam, perkataan sufi bukanlah berasal dari bahasa arab. Ada yang mengatakan ia berasal dari kata suf (baju dari kulit domba) yang menjadi pakaian bagi golongan zuhud di zaman Nabi, ada juga yang berpendapat ianya berasal dari kata sufiya yang merupakan bahasa yunani yang bermaksud hikmah. Ada juga pendapat yang mengatakan ianya berasal dari kata As-Safaa' yang bermaksud suci dan jernih. Akan tetapi pendapat ini telah disanggal kerana jika ditambah dengan ya' nisbah ia akan menjadi safaa'ie bukannya sufi.


Selalunya sufi ini dikaitkan dengan tarikat yang bermaksud jalan. Ada juga yang berpendapat sufi ini hanya kaitannya dengan zuhud, tawadhu' dan warak dan tidak ada kaitannya dengan tarikat-tarikat tertentu. Akan tetapi yang menjadi mejoritinya hari ini bila disebut sufi atau tasawwuf ia mesti dikaitkan dengan tarikat. Tarikat ini telah diterima umum oleh banyak ilmuan-ilmuan islam yang kebanyakan mereka ini dipelopori oleh pengikut asya'irah maturidiyah. Antara tarikat-tarikat yang popular seperti Tijaniyah, Naqsyabandiyah, Syaziliyah, Qadiriyah, Ahmadiah, dan sebagainya.


Nama sufi ini sebenarnya telah memecah-belahkan kaum muslimin disebabkan oleh kaum sufi itu sendiri. Apa tidaknya, masing-masing daripada kelompok sufi yang menamakan kelompok mereka dengan tarikat-tarikat tertentu mengakui merekalah yang paling benar. Malah menuduh sesama mereka sebagai tidak betul. Malah jika diperhati setiap peribadatan kaum sufi ini, ternyata amat berbeza antara satu tarikat dengan tarikat yang lain. Malah setiap tarikat-tarikat pasti tidak akan terlepas daripada rekaan-rekaan bentuk peribadatannya. Sedangkan islam menganjurkan untuk bersatu-padu dan jangan berpecah-belah serta beribadat sebagaimana yang telah disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah Ta'ala:


وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا


Dan berpegang-teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai. (Surah Ali Imran : 103)


وَلا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (31) مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ (32)


Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta Dirikanlah shalat dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, Yaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. (Surah Ar-Rum : 31-32)


فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ


Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. (Surah An-Nisaa' : 59)


من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو ردّ


Siapa yang mengamalkan suatu amalan yang tiada daripada ajaran kami, maka ia ditolok (tidak diterima). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Mengapa perlu berkelompok-kelompok? Tidak cukupkah ajaran islam yang dibawa oleh Rasulullah? Tidak cukupkah Al-Quran dan As-Sunnah menurut fahaman sahabat (salafus soleh) sebagai petunjuk dan pembimbing hidup? Inilah yang kurangnya pada kelompok sufi sebenarnya. Mereka mengamalkan zikir-zikir yang tidak bersumberkan Al-Quran dan Hadis yang sahih. Mereka mengamalkan tawassul (perantaraan/ Wasilah) yang melampaui batas syariat. Dan mereka juga sering guluw (melampau) dalam segala perbuatan yang direkayasa oleh mereka.


Seperti yang saya sebut pada awal tulisan ini, mereka ini suka berdoa dengan cara yang salah kerana mereka beristighatsah dan beriti'anah selain Allah seperti: "Wahai Jailani, Wahai Rifa'I, Wahai Rasulullah tolonglah kami!" atau terkadang juga mereka berdoa "Wahai Rasulullah hanya kepadamu kami bersandar!" Padahal jelas daripada Al-Quran menyatakan tidak boleh berdoa meminta pertolongan melainkan hanya pada Allah semata.


إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ


Hanya pada-Mu kami menyembah dan hanya pada-Mu kami meminta pertolongan. (Surah Al-Fatihah : 5)


وَلا تَدْعُ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لا يَنْفَعُكَ وَلا يَضُرُّكَ فَإِنْ فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِنَ الظَّالِمِينَ


Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak dapat memberi manfaat dan tidak dapat memberi mudharat kepadamu selain Allah; kerana jika kamu berbuat demikian itu, sesungguhnya kalau begitu kamu termasuk golongan orang-orang yang zalim. (Surah Yunus : 106)


Maksud zalim dalam ayat di atas adalah syirik (mempersekutukan Allah) sebagaimana Firman Allah dalam surah Luqman ayat 13 yang berbunyi:


لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ


Janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.


Satu lagi cara ibadat yang telah disepakati oleh kaum-kaum sufi adalah berzikir secara kuat serta berjemaah. Sebagaimana pada hari ini, bukan sahaja para sufi yang berzikir secara kuat, malah ramai yang telah tertipu dengan cara ini yang disangka ianya sunnah padahal ia bertentangan dengan sunnah Nabi yang jelas tertera di dalam Al-Quran maupun Hadis Nabawiyah.


وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآَصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ


Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari orang yang lalai. (Surah al-A’raaf : 205)


ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ


Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. (Surah al-A’raaf : 55)


Suatu hadis yang tidak asing lagi dalam menolak hujah mereka yang mengatakan zikir berjemaah adalah sunnah adalah hadis yang diriwayatkan oleh ad-Darimi dalam musnadnya menunjukkan bahawa zikir secara berjemaah adalah bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w. dan sunnah sahabat r.a.


Daripada ‘Amr bin Salamah (seorang tabi’i) katanya: “Satu ketika kami duduk di pintu ‘Abd Allah bin Mas‘ud sebelum solat subuh. Apabila dia keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa al-Asy‘ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abd al-Rahman (gelaran kepada ‘Abd Allah bin Mas’ud) telah keluar kepada kamu?” Kami jawab: “Tidak!”. Maka dia duduk bersama kami sehingga ‘Abd Allah bin Mas‘ud keluar. Apabila dia keluar, kami semua bangun kepadanya.


Lalu Abu Musa al-Asy‘ari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman, aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak lihat – alhamdulilah – melainkan ianya baik”. Dia bertanya: “Apakah ia?”. Kata Abu Musa: “Jika umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk dalam lingkungan (halaqah) menunggu solat. Bagi setiap lingkungan (halaqah) ada seorang lelaki (ketua kumpulan), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak batu. Apabila lelaki itu berkata : Takbir seratus kali, mereka pun bertakbir seratus kali. Apabila dia berkata: Tahlil seratus kali, mereka pun bertahlil seratus kali. Apabila dia berkata: Tasbih seratus kali, mereka pun bertasbih seratus kali.” Tanya ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Apa yang telah kau katakan kepada mereka?”. Jawabnya: “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana menanti pandangan dan perintahmu”.


Berkata ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa mereka dan engkau jaminkan bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikit pun”. Lalu dia berjalan, kami pun berjalan bersamanya. Sehinggalah dia tiba kepada salah satu daripada lingkungan berkenaan. Dia berdiri lantas berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?” Jawab mereka: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman! Batu yang dengannya kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih”. Jawabnya: “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala-pahala kamu tidak hilang sedikit pun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih lagi ramai, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah. Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad, atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?”


Jawab mereka : “Demi Allah wahai Abu ‘Abd al-Rahman, kami hanya bertujuan baik.” Jawabnya : “Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak menepatinya.” Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menceritakan kepada kami satu kaum yang membaca al-Quran namun tidak lebih dari kerongkong mereka (ini merupakan salah satu sifat khawarij seperti diterangkan dalam hadis-hadis). Demi Allah aku tidak tahu, barangkali kebanyakan mereka dari kalangan kamu.” Kemudian beliau pergi.


Berkata ‘Amr bin Salamah: “Kami melihat kebanyakan puak tersebut bersama Khawarij memerangi kami pada hari Nahrawan.” (Hadis riwayat ad-Darimi di dalam Musnadnya dengan sanad yang dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadis as-Sahihah jilid 5, ms 11)


Bukan setakat itu penyelewengan kaum sufi, malah banyak lagi penyelewengan mereka sehinggakan ada yang sampai ketahap pemujaan para wali dan keramat serta menyembah kubur wali dan meminta tolong darinya, dan ada yang menerima konsep wahdatul wujud (bersatunya makluk dengan Tuhannya) yang dipelopori oleh Ibn 'Arabi sebagaimana termaktub fahamannya ini dalam kitab Futuhat Al-Makiyyah. Sehingga Ibn 'Arabi pernah berkata: "Sesungguhnya seorang lelaki yang meniduri isterinya, sebenarnya sedang meniduri Allah Al-Haq." Sungguh kufur perkataan ini wal 'iyazubillah.


Jika sesiapa yang pernah ke Mesir boleh melihat sendiri kebatilan cara para sufi ini berzikir secara kuat (jahar) sambil menari dan bertepuk-tepuk tangan serta meraung-raung nama Allah sehinggalah mereka hanya menyebut seringkas-ringkasnya sebutan Al-Haq seperti: "Hu-Hu, Hu-Hu, atau Ah-Ah-Ah seperti orang yang mabuk kerana meminum arak. Kononnya inilah zikir tahap yang tertinggi sekali. Sedangkan sabda Rasulullah:


أفضل الذكر : لا إله إلا الله



"Sebaik-baik zikir adalah kalimah Laa Ilaaha Illallah." (Hadis riwayat Tirmizi)


Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Anfal ayat 35 berbunyi:


وَمَا كَانَ صَلاتُهُمْ عِنْدَ الْبَيْتِ إِلا مُكَاءً وَتَصْدِيَةً فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ


Sembahyang mereka (orang-orang musyrikin) di sekitar Baitullah itu, lain tidak hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu.


Dengan sedikit infomasi tentang sufi ini, semoga para pembaca lebih terbuka minda untuk mencari kebenaran. Jangan hanya melihat luaran tanpa mengkaji dalamannya. Seperti juga ramai pengikut tarikat yang mempunyai akhlak yang baik akan tetapi aqidahnya sangatlah batil. Ibadatnya sangatlah banyak rekaan-rekaan yang tidak dijumpai daripada sunnah nabi serta amalan salafus soleh.


Sebab itu Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada sahabatnya yang umat islam akan berpecah kepada 73 puak semuanya menuju ke neraka kecuali satu. Apabila sahabat bertanya siapakah yang satu tersebut maka Rasulullah menjawap: "Al-Jamaah". Dalam riwayat lain Nabi s.a.w. bersabda:


وتفترق أمتي على ثلاث وسبعين ملة كلهم في النار إلا ملة واحدة قالوا ومن هي يا رسول الله قال ما أنا عليه وأصحابي


“Dan akan terpecah umatku manjadi 73 aliran (puak), semua mereka masuk neraka kecuali satu aliran. Para sahabat bertanya: Siapakah aliran itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan para sahabatku. (Hadis Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad dan lain-lain; disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Tirmidzi, no: 2641)


Hanya satu jalan (tarikat) yang selamat iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ibn Mas'ud r.a. berkata: "suatu hari rasulullah s.a.w. membuat satu garisan lurus dengan tangannya lalu bersabda:


هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ مُسْتَقِيمًا قَالَ ثُمَّ خَطَّ عَنْ يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ السُّبُلُ وَلَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلَّا عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ {وَإِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ}


"Inilah jalan Allah yang lurus, kemudian baginda menggariskan beberapa garis disebelah kiri dan kanan garis yang lurus itu, sambil bersabda: "Inilah jalan-jalan (kesesatan). Tidak ada satu jalan pun dari jalan ini melainkan ada syaitan yang mengajak manusia untuk mengikuti jalan tersebut. Kemudian baginda membacakan surah Al-An'am ayat 153 : "Dan bahawa yang (kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain)". (Hadis riwayat Ahmad; berkata Al-Arnauth: Hadis hasan, rujuk Musnad Ahmad takhrij al-Arnauth, no: 4437)

Tuesday, May 12, 2009

HUKUM KUBAH HIJAU

OLEH : MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

PENGENALAN KEPADA KUBAH HIJAU DAN SEJARAHNYA
Dalam sejarah Islam, terdapat dua Kubah Hijau iaitulah pertamanya Kubah Hijau Baghdad yang merupakan bumbung istana Darul Khilafah (Istana Khalifah) Bani Abbasiah yang dibina oleh Khalifah al-Mansur r.h[1].
Kedua adalah Kubah Hijau yang menaungi Kubur Nabi s.a.w dan dua sahabat baginda Abu Bakar dan Umar r.a. Kubah Hijau inilah yang dimaksudkan dalam tulisan ini dan sebagaimana yang tertera di dalam gambar di atas.
Kubah Hijau ini dibina pada zaman kesultanan Mamalik tahun 678 H. Sultan ketika itu adalah Qalawun al-Alfi al-Solihi. Pada zaman Usmaniah, di era Sultan Abdul Hamid II bersamaan tahun 1228 H kubah ini dicat dengan warna hijau.
Maka, daripada segi sejarah kubah ini, kita dapati ia tidak dibina di zaman Rasulullah s.a.w, tidak juga zaman Khulafa' al-Rasyidin, tidak juga zaman tabiin, bahkan tidak juga zaman tabi' tabiin. Maka, pembinaan kubah ini langsung tidak menjadi dalil keharusan membina kubah di atas kubur.

Kedudukan Kubur Nabi s.a.w dan Dua Sahabat Baginda
Kubur Nabi s.a.w, Abu Bakar r.a, dan Umar r.a bukanlah di dalam Masjid Nabawi sebagaimana sangkaan sesetangah manusia tetapi kubur baginda berada di luar daripada kawasan Masjid iaitu berada dalam bilik (rumah) Aisyah r.a sedangkan rumah Aisyah r.a ini melekat dengan masjid yakni dinding rumah Aisyah bercantum dengan dinding masjid. Namun, para ulama telah ijmak bahawa bangunan yang melekat dengan masjid bukanlah sebahagian daripada masjid selama mana ia tidak dimasukkan ke dalam kawasan masjid[2].
Pada tahun 88 Hijrah dalam bulan Rabul Awwal, Khalifah al-Walid bin Abdul Malik al-Umawy memerintahkan gabenornya, Umar bin Abdul Aziz r.h untuk meluaskan Masjid Nabawi dan meruntuhkan rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w untuk dijadikan kawasan masjid. Fuqaha Sepuluh tidak bersetuju kerana mereka tidak mahu rumah-rumah Ummuhatul Mukminin yang menjadi lambang kehidupan zuhud Rasulullah s.a.w namun Al-Walid bertekad juga untuk melaksanakannya. Rumah Aisyah r.a berada di sebelah timur masjid dan qiblat berada di selatan.
Oleh sebab ini Said bin al-Musayyab r.h tidak bersetuju memasukkan bilik Aisyah dalam masjid kerana takut kawasan kubur Nabi s.a.w dan dua sahabat baginda dijadikan sebagai kawasan masjid[3].
Namun, para tabiin rahiamahumullah memahami perkara ini lalu mereka memisahkan kubur Nabi s.a.w dan dua sahabat baginda daripada masjid dengan tiga tembok. Berkata Ibn Qayyim r.h :
ودعا بأن لا يجعل القبر الذي قد ضمه وثنا من الأوثان
فأجاب رب العالمين دعاءه وأحاطه بثلاثة الجدران
Maksudnya : "dan baginda berdoa supaya kuburnya tidak menjadi berhala yang disembah, maka Tuhan sekalian 'alam memperkenankan doanya dan kuburnya diliputi 3 lapis dinding"[4].
Ini kerana, sebaik ditanam Rasulullah s.a.w dijadikan dinding memisahkan kawasan tempat tinggal Aisyah dengan kawasan kubur. Maka jadilah rumah beliau dua bahagian. Kemudian, setelah dtanam Umar, Aisyah berpindah dan dijadikan dinding yang menutup terus rumah tersebut kecuali tingkapnya sahaja. Kemudian apabila zaman al-Walid, Umar bin Abdul Aziz membina sebuah lagi dinding dan dijadikan dinding bahagian utara (yakni kawasan kubur) berbentuk tiga segi supaya apabila orang bersolat tidak menghadap kubur. Jarak antara dindng Umar dengan dinding sahabat adalah jauh. Maka dinding Umar ini sekaligus mengeluarkan kawasan perkuburan Rasulullah s.a.w dan dua sahabat baginda daripada kawasan masjid. Maka dindng yang menjadi pagar kawasan kubur dengan kawasan masjid inilah yang bercamtum dengan masjid. Selepas itu, dibina pula diding ketiga yang memisahkan dinding Umar dengan masjid. Jadilah dinding yang ketiga inilah yang bercantum dengan masjid. Di atas asas dinding yang ketiga inilah berdirinya Kubah Hijau. Kemudian dibina pula pagar besar selepas dinding ketiga dan jarak antara pagar besi ini daripada dinding ketiga adalah 1 meter setengah sehingga 82 meter. Setiap dinding in tidak mempunyai sebarang pintu atau lubang sehingga sesiapa yang menjenguk melalui pagar ini, yang dlihat hanyalah kawasan dinding ketiga dan kawasan kubur masih jauh ke dalam[5]. Oleh itu, jelas bahawa kubur Nabi s.a.w dan dua sahabat baginda bukanlah berada dalam kawasan masjid tetapi kekal di dalam bilik Aisyah r.a.

Larangan Rasulullah s.a.w Menjadikan Kubur Sebagai Tempat Ibadat
عن عائشة - رضي الله عنها - « أن أم سلمة ذكرت لرسول الله صلى الله عليه وسلم كنيسة رأتها بأرض الحبشة وما فيها من الصور ، فقال : " أولئك شرار الخلق عند الله ، أولئك إذا مات فيهم الرجل الصالح أو العبد الصالح بنوا على قبره مسجدا ، وصوروا فيه تلك الصور ، أولئك شرار الخلق عند الله »
Maksudnya : Daripada Aisyah r.a : Bahawa Ummu Salamah r.a menceritakan kepada Rasulullah s.a.w berkenaan sebuah gereja yang dilihatnya d Habsyah dan berkenaan gambar-gambar yang ada di dalamnya, maka sabda Nabi s.a.w : "Itulah sekeji-keji makhluk di sisi Allah, mereka itu (Kristian) apabla mati seorang lelaki soleh dalam kalangan mereka, mereka bina di atas kuburnya masjid (tempat ibadat) dan mereka lukis gambar-gambar itu, merekalah sekeji-keji makhluk di sisi Allah". [al-Bukhari dan Muslim].
Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani :
وَفِيهِ كَرَاهِيَة الصَّلَاة فِي الْمَقَابِر سَوَاء كَانَتْ بِجَنْبِ الْقَبْر أَوْ عَلَيْهِ أَوْ إِلَيْهِ
Maksudnya : "dan pada hadis ini menunjukkan dibenci untuk bersolat di perkuburan sama ada bersebelahan kubur atau di atasnya atau menghadapnya"[6].
Imam al-Nawawi r.h dalam Syarahnya terhadap Sahih Muslim meletakkan hadis di atas dalam bab : "Bab Larangan Membina Masjid di atas Kubur dan Membuat Gambar-gambar di Dalamnya"[7].
Daripada Aisyah r.a juga katanya :
"لما نُزل برسول الله - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- طفق يطرح خميصة له على وجهه، فإذا اغتم بها كشفها، فقال وهو كذلك: "لعنة الله على اليهود والنصارى اتخذوا قبور أنبيائهم مساجد" يحذِّر ما صنعوا، ولولا ذلك أُبرز قبره، غير أنه خُشي أن يُتخذ مسجداً
Maksudnya : "Apabila Rasulullah s.a.w didatangi kematian (dalam nazak), baginda menutup wajahnya dengan kain, apabila susah untuk bernafas baginda membukanya lalu bersabda dalam keadaan itu : Laknat Allah ke atas Yahudi Nasrani yang menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid. (kata Aisyah) Baginda melarang umatnya berbuat demikian, jika tidak tentulah akan dizahirkan kubur baginda tetapi takut ianya dijadikan kuburan". [al-Bukhari dan Muslim].
Menurut Imam al-Nawawi, maksud Aisyah r.a dengan tidak dizahirkan kuburan Nabi s.a.w adalah dengan membina tiga dinding yang kami sebutkan. Jadi jelaslah daripada hadis ini, para sahabat berpandangan dengan adanya tiga dinding itu, kuburan Nabi s.a.w dan dua sahabat baginda tidak termasuk dalam kawasan masjid[8].
Daripada Jundub r.a, Nabi s.a.w bersabda :
وإن من كان قبلكم كانوا يتخذون قبور أنبيائهم وصالحيهم مساجد ألا فلا تتخذوا القبور مساجد إني أنهاكم عن ذلك
Maksudnya : "dan sesungguhnya umat sebelum kamu mereka menjadikan perkuburan Nabi-nabi mereka dan orang-orang soleh mereka sebagai masjid (tempat ibadat), maka janganlah kamu jadikan kuburan sebagai masjid sesungguhnya aku melarang kamu daripada melakukan perkara itu". [Muslim].
Hadis ini jelas menunjukkan haramnya menjadikan kuburan sebagai tempat ibadat. Perkara ini adalah ijmak ulama Ahli Sunnah wal Jamaah[9].
Dalam riwayat Malik dan Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
"اللهم لا تجعل قبري وثناً يُعبد. اشتد غضبُ الله على قوم اتخذوا قبور أنبيائهم مساجد"
Maksudnya : "Ya Allah, Janganlah Engkau jadikan kuburku sebagai berhala yang disembah, amat besar kemurkaan Allah atas kaum yang menjadikan kuburan Nabi-nabi sebagai masjid"[10].
Hadis ini menunjukkan larangan berlebih-lebih terhadap kubur sehingga menjadikan berhala yang disembah.
عن ابن عباس -رضي الله عنهما- قال: "لعن رسول الله -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- زائرات القبور، والمتخذين عليها المساجد والسُّرج"
Maksudnya : Daripada Ibn Abbas r.a katanya : "Rasulullah s.a.w telah melaknat wanita-wanita yang melazimi ziarah kubur, orang yang menjadikannya (kubur) sebagai masjid, dan yang meletakkan lampu (di kubur)". [Riwayat Abu Daud, al-Tarmizi, Ibn Majah, dan Ahmad].
Hadis ini melarang kita berlebih-lebihan menyanjung kuburan kerana akan membawa kepada syirik. Oleh itu, menyanjung kuburan dengan menghiasinya dan sebagainya adalah dosa besar. Nauzubillah min zalik.

Hukum Membuat Binaan Kubur
Hukum membuat binaan kubur adalah dilarang dalam syariat Islam kerana ia termasuk perkara yang membawa kepada pemujaan kubur dan menjadikannya tempat ibadat.
Terdapat beberapa hadis sahih yang melarangnya :
عنْ أبي وَائِلٍ، أَنّ عَليَا قالَ لأَبِي الهَيّاجِ الأسَدِيّ: أبْعَثُكَ عَلَى مَا بَعَثَنِي به النبيّ صلى الله عليه وسلم: "أنْ لاَ تَدَع قَبْراً مُشْرِفاً إلاّ سَوّيْتَهُ، ولاَ تِمْثَالاً إلاّ طَمَسْتَهُ"
Maksudnya : Daripada Abu Wael bahawa Ali r.a berkata kepada Abul Hiyaj al-Asadi : "Aku menghantarmu (dengan suatu perintah) sebagaimana Rasulullah s.a.w menghantarku (dengan suatu perintah)iaitu janganlah kamu membiarkan kuburan yang ditinggikan melainkan engkau ratakan dan janganlah kau biarkan patung melainkan engkau pecahkan". [Riwayat al-Jamaah kecuali al-Bukhari dan Ibn Majah].
Dalam hadis ini terdapat larangan keras membina kuburan dan berkata al-Syaukani r.h :
وَمِنْ رَفْعِ الْقُبُورِ الدَّاخِلِ تَحْتَ الْحَدِيثِ دُخُولًا أَوَّلِيَّا الْقُبَبُ وَالْمَشَاهِدُ الْمَعْمُورَةُ عَلَى الْقُبُورِ
Maksudnya : "dan termasuk secara lebih aula larangan meninggikan kuburan yang dilarang dalam hadis adalah kubah-kubah dan mashad-mashad yang dibina di atas kubur"[11].
عن جابر قال : نهى رسول الله صلى الله عليه و سلم أن يجصص القبر وأن يقعد عليه وأن يبنى عليه
Maksudnya : Daripada Jabir r.a kata beliau :"Rasulullah s.a.w telah melarang untuk menyemen kubur dan duduk di atasnya dan membuat binaan atasnya"[12].
Hadis ini menunjukkan Rasulullah s.a.w melarang kita daripada mengapur kubur atau menyemennya, duduk di atas kubur, dan membuat binaan di atasnya. Maka, jikalau sekadar menyapu semen atau kapur pun dilarang oleh syarak kerana takut membawa kepada syirik dan pemujaan kubur bagaimana pula dengan membina kubah dan bangunan-bangunan mewah di atasnya.
Berkata al-Husoini al-Syafii r.h :
ويكره تجصيصه والكتابة عليه وكذا البناء عليه فلو بني عليه إما قبة أو محوطا ونحوه نظر إن كان في مقبرة مسلبة هدم لأن البناء والحالة هذه حرام
Maksudnya : "dan dimakruhkan menyemen (mengapur) kubur dan menulis di atasnya demikian lagi membuat binaan atasnya, maka jika dibina atasnya sama ada kubah atau pagar dan seumpamanya dilihat; jika ianya perkuburan waqaf (kubur awam) maka dimusnahkan (binaan) kerana membuat binaan dalam keadaan ini adalah haram"[13].
Berkata pengarang Manarus Sabil[14] :
ويكره تزويقه ، وتجصيصه ، وتبخيره لقول جابر نهى النبي صلى الله عليه وسلم أن يجصص القبر ، وأن يبنى عليه ، وأن يقعد عليه رواه مسلم ، زاد الترمذي وأن يكتب عليها . وتقبيله ، والطواف به والصحيح تحريمه ، لأنه من البدع ، وقد روي أن ابتداء عبادة الأصنام تعظيم الأموات
Maksudnya : "dan dimakruhkan menghiasnya (kubur), menyemennya, dan memberikannya wangian berdasarkan hadis Jabir Nabi s.a.w melarang disemen kubur dan dibina atasnya dan diduduk atasnya; diriwayatkan Muslim, al-Tarmizi (dalam riwayatnya) menambah : dan (dilarang) menulis di atasnya. Demikian juga menciumnya dan tawaf mengelilinginya. Adapun yang sahih adalah diharamkannya kerana ianya termasuk bidaah dan telah diriwayatkan bahawa permulaan menyembah berhala adalah memuja orang mati"[15].
Berkata Ibn Hajar al-Haitami r.h :
وَتَجِبُ الْمُبَادَرَةُ لِهَدْمِهَا وَهَدْمِ الْقِبَابِ الَّتِي عَلَى الْقُبُورِ
Maksudnya : "dan wajib bersegera memusnahkannya (masjid-masjid di atas kubur) dan kubah-kubah yang berada di atas kuburan"[16].
Daripada kenyataan ulama di atas, kita dapati bahawa para ulama telah bersepakat dilarang membina kubah di atas kubur. Namun, mereka berbeza pendapat apakah hukum larangan itu sama ada makruh atau haram. Ini jika kubah ini tidak dijadikan tempat ibadat dan bukan di perkuburan awam. Adapun jika kubah ini dijadikan sebagai tempat bertabaruk, membayar nazar dan bersolat serta seumpamanya daripada ibadat, maka mereka bersepakat ianya haram dan wajib diruntuhkan.

Kedudukan Kubah Hijau
Hadis-hadis di atas jelas tidak menegcualikan kuburan Nabi s.a.w bahkan kuburan baginda lebih utama untuk dibersihkan daripada perkara-perkara makruh apatah lagi haram. Oleh itu, sekurang-kurang hukum Kubah Hijau hari ini adalah makruh yakni dibenci oleh Allah s.w.t kerana ia tidak lagi menjadi tempat syirik setelah dikawal oleh Kerajaan Arab Saudi. Tetapi kami melihat, pendapat yang rajih adalah haram membina sebarang kubah di atas kubur kerana ia termasuk dalam erti kata 'Tasyrif' yang diperintah Rasulullah s.a.w supaya diratakan. Inilah pendapat sekumpulan Hanabilah, Syafiiah, dan dirajihkan al-Syaukani r.h.
Oleh itu, yang afdalnya hendaklah kerajaan Saudi dan sekalian kerajaan-kerajaan Islam[17] berusaha membuang Kubah Hijau ini supaya tidak menjadi fitnah kepada mereka yang jahil dan generasi mendatang. Demikian lagi wujudnya kubah ini adalah penghinaan kepada Rasulullah s.a.w dan menyalahi sunnah baginda. Oleh itu, amat tidak layak untuk dibiarkan kubah ini terus wujud.
Fatwa Lajnah Daimah Arab Saudi menyatakan :
"Tidak sah berhujjah dengan perbuatan manusia membina kubah di atas kubur Nabi s.a.w bahawa harus membina kubah di atas kubur-kubur lainnya sama ada orang soleh atau bukan, kerana pembinaan mereka akan kubah di atas kubur Nabi s.a.w itu adalah haram dan pembuatnya berdosa kerana menyalahi akan apa yang sabit daripada Abul Hiyaj al-Asadi : 'Berkata kepadaku Ali bin Abu Talib r.a : Aku mengutusmu sebagaimana Rasulullah s.a.w mengutusku supaya tidaklah engkau biarkan kubur yang ditinggikan melainkan engaku ratakan dan sebuah patung melainkan engkau pecahkan'..." [Fatwa Lajnah Daimah Arab Saudi, 9/83]. Wallahua'lam.
[1] Tarikh Baghdad, 1/31-32. Kubah ini bertahan selama 180 tahun lebih sehingga ia runtuh di zaman al-Wasiq Billah (329 H).
[2] Sebagai contoh kawasan Sa'i walaupun bercantum dengan bangunan Masjidil Haram namun ia bukan kawsan masjid. Maka wanita yang haid dan orang junub masih boleh memasukinya dan melakukan sa'i.
[3] Al-Bidayah wan Nihayah, 9/89-90
[4] Al-Qasidah al-Nuniah, 252.
[5] Al-Tamhid fi Syarhi Kitab al-Tauhid, 365-368.
[6] Fathul Bari , 2/148
[7] Al-Minhaj, 5/11
[8] Ibid, 5/14.
[9] Lihat Tashniful Asma' bi Ba'di Masail Ijmak.
[10] Muwatta' (85), Ahmad, 2/246. Lihat : al-Mulakhas fi Syarhi Kitab al-Tauhid, 1/178.
[11] Nailul Autor, 6/276
[12] Muslim (970)
[13] Kifayatul Akhyar, 1/164
[14] Iaitulah Ibn Dauban, Ibrahim bn Muhammad. Wafat pada tahun 1353 H.
[15] Manarus Sabil, 1/117.
[16]Al-Zawajir, 1/386
[17] Usaha ini mesti datang daripada OIC dan Rabitah Fiqh Sedunia sepertimana usaha meluaskan tempat Saie yang melibatkan fatwa setiap majlis fatwa negara Islam supaya Ahli Bidaah tidak memiliki hujah ke atas Ahli Sunnah untuk memfitnah mereka.

BENTUK IBADAT KAUM SUFI (I)

Berikut dokumentari saluran al-Arabiya berkenaan ajaran Sufi di Tunisia:

Imam al-Syafii rahimahullah berkata:

"Jika seseorang itu mengikut ajaran Tasawuf di awal hari pasti pada waktu tengah hari dia telah menjadi seorang yang bodoh". [Manaqib al-Syafii, al-Baihaqi, 2/208].

Berkata Imam Ibn Aqil al-Hanbali rahimahullah:

"Tidak ada perkara yang lebih bahaya terhadap Syariat selain Ahli Kalam dan kaum Sufi , adapun Ahli Kalam merosakkan akidah manusia dengan Syubhat akal, adapun kaum Sufi merosakkan amal ibadat dan hukum hakam agama". [Talbis Iblis, Ibn al-Jauzi, 1/451].

Imam Abu Bakar al-Tartushi rahimahullah berkata:

"Mazhab Sufi itu adalah batil, jahil, dan sesat". [Tafsir al-Qutubi, Tafsir Surah Taha ayat 93].

TASAWUF DAN SUFI


Aliran Tasawuf atau ajaran sufi memang menimbulkan perbincangan yang hangat dalam kalangan kaum muslimin antara yang menyokong dan membantah. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu banyak dipengaruhi unsur-unsur Tasawuf dan Tariqat Sufi sehingga dikatakan setiap Ulama Melayu terdahulu tidak terlepas sebagai pengamal salah satu tariqat yang wujud.
Namun, dalam membicarakan soal tasawuf ini, kita perlu bersikap adil dan meneliti dengan timbangan Kitab Allah dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang sahih kerana ini lah dua peninggalan Nabi s.a.w kepada kita yang menjadi kayu ukur kepada kebenaran dan kebatilan sesuatu perkara.
Istilah Tasawuf tidaklah muncul atau wujud dalam kurun awal Islam walaupun ramai kaum Sufi percaya bahawa ajaran mereka bersanad daripada Rasulullah s.a.w sendiri. Istilah Sufi atau Mutasawwif hanya muncul pada kurun ketiga Hijrah hasil daripada sekumpulan kaum di Basrah yang memilih jalan hidup sederhana setelah Umat Islam dilanda dengan kehidupan senang dan mewah.[Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 16/5-6].
Antara yang terawal memilih jalan ini adalah Abdul Wahid bin Zaid di mana anak-anak murid beliau merupakan kaum terawal mendirikan tempat-tempat ibadat sufi. Abdul Wahid bin Zaid ini adalah antara Ashab (Sahabat) Hasan al-Basri dan terkenal sebagai seorang yang zuhud dan berlebih-lebihan dalam ibadat. [Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 16/6-7].
Gerakan Sufi atau Tasawuf bermula sebagai gerakan menghidupkan semula kehidupan zuhud setelah Umat Islam dilanda dengan kehidupan mewah namun gerakan ini telah berkembang kemudiannya menjadi satu firqah daripada firqah-firqah Islam yang terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah hasil terpengaruh dengan falsafah Yunani, Hindu, Kristian, dan lainnya.[al-Mausuah al-Muyassarah fil Adyan wal Mazahib wal Ahzab al-Muasarah, Bab al-Sufiah].
Gerakan Zuhud ini sebenarnya telah pun bermula sejak zaman Sahabat lagi melalui Saidina Abu Zarr al-Ghifari r.a selaku seorang yang terkenal mengajak manusia memilih kehidupan zuhud semenjak zaman Saidina Usman bin al-Affan r.a yakni permulaan zaman Umat Islam hidup dalam kemewahan dan kesengan.
Namun istilah Tasawuf tidaklah muncul sehingga kurun ketiga hijrah apabila kaum Zuhud ini mula terpengaruh dengan ajaran-ajaran luar dan idea-idea asing seperti melazimi memakai baju Suf yakni pakaian yang dibuat daripada bulu bebiri. Imam Muhammad bin Sirin r.h pernah ditanya berkenaan mereka ini lalu beliau menjawab: “Sesungguhnya mereka ini meniru cara hidup al-Masih Isa a.s sedangkan Hidayah Nabi kita lebih kita cintai, adalah Nabi s.a.w memakai kain kapas dan lainnya”. [Majmuk Fatawa Ibn Taimiah, 16/7]
Perkataan Ibn Sirin ini jelas menunjukkan bahawa kaum sufi ini terpengaruh dengan ajaran Kristian yang mana dikatakan Nabi Isa a.s memakai pakaian Suf dan hidup sebagai seorang fakir.
Pengaruh luar ini telah mengubah wajah Tasawuf daripada gerakan Zuhud yang sepatutnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih telah berubah dengan mengambil sumber daripada pemikiran luar. Selain itu, pengaruh hadis-hadis palsu dan daif dalam pembentukan ajaran Tasawuf juga amat ketara kerana jika diteliti kitab-kitab Sufi yang muktabar seperti Ihya’ Ulumuddin misalnya penuh dengan hadis dan khabar yang palsu dan daif.
Antara penyebab berubahnya wajah gerakan zuhud yang murni kepada gerakan Tasawuf yang mempunyai akidah tersendiri pengaruh daripada firqah-firqah sesat yang sedia ada seperti Syiah dan Ilmu Kalam. Ini jelas jika kita melihat kepada Guru Utama ajaran Tasawuf ini, al-Haris al-Muhasibi yang merupakan pengikut ajaran Kullabiah, Abdul Wahid bin Zaid pengikut Qadariah. Demikian guru mereka yang mutaakhir seperti Imam al-Ghazali dan al-Qusyairi daripada al-Asyairah.
Selain itu, ajaran sufi meletakkan perasaan hati dan ilham sebagai sumber dalam amal ibadat mereka, ini melahirkan sifat melampau dalam ibadat dan mengeluarkan mereka daripada had sepatutnya. Atas dasar inilah semua ahli sufi tidak terlepas daripada kesalahan yang tercela walaupun sebahagian mereka daripada Ahli Sunnah wal Jamaah. [al-Mausuah al-Muyassarah lil Adyan wal Mazahib wal Ahzab al-Muasarah, Bab al-Sufiah].
Kasyaf, Ilham, dan Gerakan Hati merupakan sumber tasawuf yang meletakkan para pengikutnya berisiko besar untuk terkeluar daripada landasan Islam yang sahih walaupun pada dasarnya mereka meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber utama dalam ajaran mereka.
Untuk membuktikan teori ini kita akan lihat contoh Ahli Tasawuf terawal yang meletakkan gerak hati sebagai asas ibadah mereka selain al-Quran dan al-Sunnah:
Pertama: Sirri al-Saqati menyatakan bahawa dia bertaubat selama 30 tahun kerana mengucapkan ‘Alhamdulillah’ kerana dia mengucapkan ‘Alhamdulillah’ itu atas dasar kedainya terselamat daripada kebakaran. Apabila dia memikirkan tindakannya dia mendapati tindakannya tidak sesuai dengan zuhud (pada sangkaannya) lalu dia bertaubat daripada perbuatannya memuji Allah tersebut. [Siyar A’lam al-Nubala, 23/176].
Kedua: al-Junaid al-Baghdadi rahimahullah, beliau terkenal dengan kata-katanya yang menunjukkan bahawa Tasawuf itu terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah, namun dalam keadaan tertentu dia juga mengucapkan: “Seseorang itu tidak akan dianggap sebagao Ahli Sufi sebenar melainkan dia disaksikan oleh seribu Ulama Zahir bahawa dia seorang Zindiq”. Kenyataan wujudnya Ulama Zahir membawa kepada wujudnya kaum batin iaitu ahli sufi sekaligus membawa kepada pembahagian syariat kepada Kulit dan Isi yang telah diijmakkan ulama sebagai bidaah dolalah. [Akidah dan Suluk dalam Tasawuf: Antara Keaslian dan Penyelewengan, Dr. Abdul Fattah Ahmad Fawi, m/s 69, terjemahan Basri bin Ibrahim].
Ketiga: Abul Husein al-Nuri mempunyai kata-kata yang terkenal seperti: “Jika kamu melihat ada manusia yang mendakwa dia boleh keluar dari syariat maka janganlah kamu dekatinya”. Namun dalam masa yang sama terdapat perkataannya yang menunjukkan kepada hulul yakni meresapnya Tuhan dalam makhluk. Bahkan dikatakan perkataan-perkataan al-Nuri sebenarnya abjad pertama yang melahirkan akidah hulul. Demikian juga beliau pernah bernazar tidak akan duduk selama 40 hari kecuali dalam solat hanya kerana memakan sebiji tamar yang menyebabkan badan beliau terasa malas bersolat. Ini adalah penyeksaan diri yang tidak berasal daripada Islam bahkan akidah Hindu. [Siyar A’lam al-Nubala’, 27/73 dan selepasnya].
Keempat: Abu Yazid al-Bustami, seorang tokoh sufi yang terkenal dengan perkataannya: “Jika kamu melihat seseorang diberi karamah sehingga boleh terbang sekalipun janganlah kamu terpedaya sehingga kamu melihat bagaimana dia menjaga suruh dan larangna Allah dan batas-batas syarak”. Namun, Abu Yazid juga terkenal sebagai bapa kepada Fahaman Ittihad (bersatunya makhluk dengan Tuhan) kerana kata-katanya: “Maha Suci Aku”, “Tidak Ada Dalam Jubah ini (yang dipakainya) kecuali Allah”.[Siyar A’lam al-Nubala, 25/83].
Demikianlah beberapa contoh yang berlaku pada kaum sufi permulaan di sebalik mereka ini mendapat pujian dalam ucapan mereka yang tertentu yang menunjukkan mereka ini seorang Ahli Tauhid yang sejati namun kerana meletakkan perasaan hati dan lintasan-lintasan hati sebagai ibadat kepada Allah Taala mereka tidak terlepas daripada melakukan atau mengucapkan perkataan yang tidak selari dengan Manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah.
Ahwal (Keadaan-keadaan) dan Syatahat (latahan-latahan) Sufi ini kemudiannya menjadi penyebab kepada kerosakan kaum sufi kebelakangan seperti yang kita katakan Abul Husein al-Nuri misalnya menjadi rujukan dalam masalah Fana’ (lebur) yang membawa kepada Ittihad (penyatuan dengan Tuhan), Hulul (penyatuan Tuhan dengan Makhluk), dan akhirnya Wihdatul Wujud (Kesatuan Tuhan dan Makhluk).
Imam Al-Zahabi r.h menyatakan berkenaan dengan Abul Husein al-Nuri r.h:
وَلَهُ عِبَارَاتٌ دَقِيْقَةٌ يَتَعَلَّقُ بِهَا مَنِ انْحَرَفَ مِنَ الصُّوْفِيَّةِ - نَسْأَلُ اللهَ العَفْوَ - .
Maksudnya: “dan baginya ibarat yang mendalam yang dijadikan pergantungan (rujukan) oleh mereka yang menyeleweng daripada kalangan Sufiah-kita memohon kemapunan Allah-.”[Siyar A’lam al-Nubala, 27/72].
Memang tidak dinafikan latahan dan tersasul dalam keadaan tertentu menjadi uzur berdasarkan hadis Nabi s.a.w:
لَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فَلاَةٍ فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ فَأَيِسَ مِنْهَا فَأَتَى شَجَرَةً فَاضْطَجَعَ فِى ظِلِّهَا قَدْ أَيِسَ مِنْ رَاحِلَتِهِ فَبَيْنَا هُوَ كَذَلِكَ إِذَا هُوَ بِهَا قَائِمَةً عِنْدَهُ فَأَخَذَ بِخِطَامِهَا ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِى وَأَنَا رَبُّكَ. أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ
Maksudnya: “Adalah Allah itu yang paling gembira dengan taubat hambaNya apabila hambaNya bertaubat melebihi kegembiraan seseorang kamu yang sedang mengembara dengan haiwan tunggangan di bumi yang gersang lalu hawiannya hilang bersama dengan bekal makanan dan minumannya lalu dia berputusa asa dan datang berbaring di bawah pokok berteduh kerana berputus asa dari menjumpai semula haiwannya namun sedang keadaannya begitu haiwannya datang berdiri di sisinya lalu dia memegang tali kekang haiwannya sambil berkata dalam keadaan teramat gembira: “Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan Aku adalah TuhanMu”, dia tersalah kerana terlampau gembira”. [Muslim].
Namun, adakah diterima akal bahawa seseorang manusia itu akan sentiasa melatah sepanjang hayatnya lalu mengucapkan kalimah kufur? Misalnya Ibn Arabi, pengarang Futuhat al-Makkiayah, Fusus al-Hikam, Insan Kamil, dan sebagainya, adakah setiap kali dia menulis kitab ini dia dalam keadaan latah sehingga kita hendak memberikan uzur kepadanya? Adakah boleh manusia yang sedang melatah atau di bawah pengaruh emosi mampu menulis kitab yang begitu tersusun ayat dan tatabahasanya?
Ini adalah perkara yang perlu diberi perhatian oleh setiap muslim supaya tidak terpengaruh dengan dakyah kaum Sufi bahawa ucapan-ucapan kufur Syeikh dan Mursyid mereka diucapkan dalam keadaan Syatahat [latah], Sakar [mabuk emosi], dan seumpamanya.
Hasil perbincangan di atas dapat kita nyatakan bahawa Ilmu Tasawuf ini berasal daripada amalan zuhud, menyemai akhlak mulia, tarbiah dan tasfiah jiwa, dan al-Ihsan yang dituntut syarak, namun hasil pengaruh luar dan hasutan syaitan telah bertukar kepada satu ajaran baharu yang terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah yang dinamakan Tasawuf dan disebut juga para Imam Usuluddin sebagai Firqah al-Nussak (Ahli Ibadat).
Keadaan ini tidak ubah seperti Ilmu Kalam yang dihukum sesat oleh Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah. Ilmu Kalam asalnya merupakan Ilmu Tauhid dan Akidah namun hasil pengaruh falsafah Yunani dan sebagainya bertukar kepada Ilmu baharu yang terkeluar daripada landasan Ahli Sunnah wal Jamaah yang dinamakan Ilmu Kalam.
Oleh itu, apabila kita menyatakan bahawa Ahli Sunnah menolak Tasawuf bukanlah bermakna Ahli Sunnah tidak menerima amalan pembersihan jiwa yang sesuai dengan syarak, ilmu akhlak, dan sifat al-Ihsan dalam ibadah tetapi yang dimaksudkan kita menolak ilmu akhlak yang dibicarakan dan dibahas menurut ilham, kasyaf, dan falsafah Yunani yang bertentangan dengan syarak yang dinamakan Tasawuf, samalah juga apabila kita mengatakan kita menolak Ilmu Kalam bukan bermakan kita menolak Ilmu Akidah yang murni atau menolak untuk percaya Allah itu Maham Mendengar, Melihat, dan sebagainya daripada sifat Allah yang sabit tetapi ilmu akidah yang berlandas kepada akal dan merendahkan nas wahyu itulah yang kita tolak.
Semoga Allah Taala memberikan hidayah kepada kita semua dan menetapkan kita di atas jalan al-Salaf al-Soleh. Wallahua’lam.


DITULIS OLEH:
MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI,
KULIAH USULUDDIN&DAKWAH,
AL-MEDINA INTERNATIONAL UNIVERSITY.